KUALA LUMPUR 13 Mac — Intel Corp melantik veteran industri semikonduktor terkenal kelahiran Malaysia, Lip-Bu Tan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi menggantikan Pat Gelsinger yang meletakkan jawatan setelah memegang jawatan itu sejak 2021.
Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, Tan akan memegang jawatan tersebut bermula pada 18 Mac 2025.
Tan yang juga bekas ketua Cadence Design Systems Inc itu juga ditawarkan menyertai semula lembaga pengarah Intel, selepas pernah melepaskan jawatannya pada Ogos 2024 dan ditugaskan untuk memulihkan nasib pembuat cip perintis yang sudah ketinggalan dalam industri.
Dalam memo kepada pekerja Intel, Tan, 65, yang dilahirkan di Muar, Johor pada 1959 berkata, beliau yakin boleh mengubah syarikat itu kerana Intel memainkan peranan penting dalam ekosistem teknologi, sama ada di Amerika Syarikat(AS) dan seluruh dunia.
"Ini bukan untuk mengatakan ia akan menjadi mudah. Ia tidak akan menjadi senang, tetapi saya menyertai Intel kerana saya percaya dengan setiap fikiran saya bahawa kita mempunyai apa yang diperlukan untuk menang,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Intel, yang menguasai bidang semikonduktor selama beberapa dekad setelah ditubuhkan pada 1968, ketika ini bergelut dengan kerugian teruk dalam bahagian pasaran, selain kemunduran pembuatan dan penurunan mendadak dalam laporan pendapatannya.
Syarikat berkenaan yang berpangkalan di Santa Clara, California, AS itu juga dibebani dengan beban hutang besar dan baru-baru ini terpaksa bertindak mengurangkan kira-kira 15,000 pekerjanya daripada keseluruhan yang seramai 108,900 orang.
Saham Intel dilaporkan melonjak lebih daripada 10 peratus sejurus berita itu disiarkan, selepas meningkat 4.6 peratus dalam dagangan biasa pasaran New York pada Rabu. Ia turun lebih daripada 54 peratus dalam tempoh 12 bulan lalu, apabila masa depan syarikat menjadi semakin suram, menjadikan nilai pasarannya kepada AS$89.5 bilion (RM396.69 bilion).
Tan, eksekutif kelahiran Malaysia namun dibesarkan di Singapura, melanjutkan pengajian di Universiti Nanyang dalam major fizik. Beliau kemudian menyambung pendidikan tinggi ke Institut Teknologi Massachusetts, di AS untuk ijazah sarjana dalam kejuruteraan nuklear.
Bagaimanapun beliau meninggalkan pengajiannya sebelum meneruskan pengajian di Universiti San Francisco, AS untuk memperoleh Sarjana Pentadbiran Perniagaan. Selepas bekerja dalam bidang pelaburan modal teroka, beliau menyertai Cadence pada 2004.
Beliau pernah dilantik untuk mengisi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif secara bersama pada 2008, selepas penyandangnya, Michael Fister meninggalkan syarikat tersebut dan kemudian mengambil alih peranan berkenaan secara tunggal pada 2009.
Tan berjaya mengendalikan syarikat perisian dan teknologi multinasional di San Jose, California itu dengan cemerlang selama lebih sedekad sebelum beliau berpindah kepada posisi Pengerusi Eksekutif, yang didudukinya sehingga 2023.
Sementara itu, pengunduran Gelsinger, ekoran beliau telah ditolak oleh lembaga pengarah kerana dianggap gagal untuk 'meremajakan' barisan produk Intel dengan salah satu cabaran yang paling ketara ialah mencipta cip pemecut kecerdasan buatan (AI).
Syarikat berkenaan tidak dapat menyaingi produk Nvidia Corp yang selama ini sering dibayangi oleh kehebatan Intel namun bangkit sejak dua tahun lalu disebabkan oleh ledakan pengkomputeran janaan AI. - DagangNews.com








