KUALA LUMPUR 16 Dis – Malakoff Corporation Berhad menjelaskan peralatan yang terlibat dalam insiden semasa kerja penyelenggaraan berjadual di Jeti Kompleks Tanjung Bin pada 13 Disember 2025 lalu ialah pemunggah arang batu dan bukannya kren seperti yang didakwa sebelum ini.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Malakoff berkata, insiden tersebut berlaku pada pemunggah arang batu CUL 20 ketika kerja penyelenggaraan dijalankan oleh kontraktor.
“Pasukan Tindak Balas Kecemasan loji bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah bertindak pantas menjalankan operasi menyelamat sejurus kejadian berlaku.
“Namun, insiden berkenaan mengakibatkan dua kematian dan tiga kecederaan membabitkan kakitangan kontraktor.
“Daripada tiga yang cedera, seorang telah dibenarkan keluar hospital manakala dua lagi masih menerima rawatan,” kata Malakoff dalam makluman tersebut.
Syarikat itu berkata, insiden itu telah dilaporkan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) serta pihak berkuasa berkaitan.
Sebagai langkah berjaga-jaga, kawasan jeti yang terjejas telah dikawal dan DOSH telah mengeluarkan notis larangan operasi di kawasan CUL 20 serta pemunggah bersebelahan (GUL 10).
“Notis larangan tersebut akan ditarik balik selepas tindakan pembaikan yang diperlukan, seperti diarahkan oleh DOSH, diselesaikan sepenuhnya.
“Selain menjalankan siasatan dalaman, kami juga memberikan kerjasama penuh dan bekerjasama rapat dengan DOSH bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca utama kejadian,” katanya.
Bagaimanapun, syarikat menegaskan operasi di Loji Janakuasa Tanjung Bin dan Loji Janakuasa Tanjung Bin Energy yang terletak dalam Kompleks Tanjung Bin kekal beroperasi seperti biasa dan tidak terjejas oleh insiden tersebut.
“Keselamatan pekerjaan dan integriti operasi kekal sebagai keutamaan tertinggi syarikat dan Malakoff komited untuk mematuhi sepenuhnya semua keperluan keselamatan pada setiap masa,” katanya.
Malakoff berkata pihaknya akan menyalurkan maklumat lanjut sekiranya terdapat sebarang perkembangan material berkaitan insiden itu. - DagangNews.com








