Inovasi perlu selesaikan masalah harian rakyat, perusahaan mikro kecil sederhana - Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inovasi perlu selesaikan masalah harian rakyat, perusahaan mikro kecil sederhana - Amir Hamzah

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 27 Nov – Inovasi tidak semestinya berbentuk revolusi teknologi global, sebaliknya harus berfungsi untuk menyelesaikan cabaran harian yang dihadapi komuniti dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Beliau berkata ketika kerajaan memberi tumpuan lebih besar kepada pembangunan PMKS melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), pendekatan terhadap inovasi perlu lebih inklusif dan berpaksikan rakyat.

 

Katanya, inovasi yang memberi manfaat langsung kepada kumpulan tertentu, terutama golongan terpinggir, adalah sama penting seperti ciptaan berteknologi tinggi.

 

amir hamzah

 

“Inovasi yang meningkatkan kehidupan komuniti atau kumpulan tertentu, khususnya yang kurang mendapat perhatian, juga sangat bernilai,” katanya ketika merasmikan Persidangan Tinjauan Ekonomi Negara anjuran Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) hari ini .

 

Amir Hamzah memberi contoh penggunaan teknologi oleh pekebun kecil di Telupid, Sabah, untuk menjual hasil pertanian pada harga lebih adil.

 

 

 

 

 

 

“Cabaran seperti ini boleh diselesaikan dengan inovasi, tetapi ia bukan jenis yang lazimnya menarik pembiayaan penyelidikan dan pembangunan.

 

“Isu-isu sebegini tidak menarik minat konglomerat besar, namun inilah cabaran yang dihadapi setiap hari oleh PMKS kita,” jelasnya.

 

PMKS dipacu naik rantaian nilai

Amir menegaskan RMK13 memberi keutamaan kepada program yang menyokong pertumbuhan dan peningkatan keupayaan PMKS.

 

Katanya, sokongan termasuk perkongsian strategik dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dana pelaburan strategik, penambahbaikan modal kerja, pembiayaan projek serta pembangunan kapasiti.

 

“Intervensi bersasar juga akan menumpukan kepada penambahbaikan sistem logistik, memudahkan pensijilan termasuk halal, serta memperluas akses ke pasaran eksport,” katanya.

 

Amir Hamzah turut menyentuh peningkatan minat keusahawanan dalam kalangan generasi muda yang kini lebih berani meneroka peluang baharu.

 

“Salah satu kekuatan negara ialah golongan muda yang sanggup melaburkan masa dan bakat untuk menangani cabaran era ini,” katanya.

 

 

 

 

 

 

Beliau berkata teknologi memainkan peranan penting dalam memperluaskan capaian pasaran dan meningkatkan potensi keusahawanan.

 

“Mereka menyesuaikan inovasi global kepada konteks tempatan, dan membuktikan bagaimana produk sambal yang ringkas pun boleh berkembang menjadi perniagaan bernilai jutaan ringgit,” katanya. - DagangNews.com