KUALA LUMPUR 7 Mac — Pemain industri insurans dan takaful di Malaysia mencadangkan sembilan langkah untuk menangani kos penjagaan kesihatan yang semakin meningkat termasuk penetapan harga kumpulan berkaitan diagnostik (DRG).
Pelbagai badan yang mewakili industri itu berkata, penetapan harga DRG boleh memupuk ketelusan caj perubatan dan penyeragaman struktur kos dalam kalangan penyedia penjagaan kesihatan, penanggung insurans dan pentadbir pihak ketiga (TPA).
Ia salah satu daripada banyak cadangan disyorkan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA), dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) ketika bersama Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen bulan lalu.
"PAC pada sesi pendengaran awam itu mengakui kebimbangan orang ramai yang meningkat terhadap kenaikan caj hospital swasta, premium insurans, dan kesan lebih luas terhadap sistem penjagaan kesihatan," kata tiga badan itu dalam satu kenyataan.
LIAM, MTA dan PIAM berkata, pembayaran bersama untuk produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) adalah penyelesaian jangka panjang bagi pengurusan kos dan menggalakkan tanggungjawab bersama dalam perbelanjaan penjagaan kesihatan.
Pembayaran bersama kata mereka, terutamanya melalui insurans secara bersama, sebenarnya bertujuan untuk menggalakkan pelanggan mengenai amalan penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih berhemat dan secara bertanggungjawab.
Selain itu, mereka berhasrat untuk bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mewujudkan produk insurans dan takaful mampan asas dan jangka panjang, serta penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) boleh menawarkan skim tambah nilai.
Langkah ini, untuk pelanggan yang mencari perlindungan tambahan dan seterusnya tiga organisasi tersebut meminta ketelusan yang lebih tinggi dengan menerbitkan kos purata prosedur perubatan biasa dan kadar inflasi kos perubatan tahunan.
"Justeru, LIAM, MTA dan PIAM mengemukakan cadangan ketiga iaitu mewujudkan pangkalan data tuntutan seluruh industri berkenaan, yang dijangka meningkatkan analisis tuntutan serta mengurangkan penipuan dan penyalahgunaan," kata kenyataan itu.
Cadangan lain ialah isu pengawalseliaan kos farmaseutikal melalui kerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi menggalakkan penggunaan ubat generik dan kawalan harga, kerana farmaseutikal menyumbang sebahagian besar hasil hospital swasta.
Selanjutnya mereka menggesa hospital swasta untuk mewujudkan unit pembendungan kos dan membekukan kenaikan harga semasa tempoh apabila penanggung insurans dan pengendali takaful dikehendaki mengehadkan kenaikan kadar premium.
Langkah ini jelas kenyataan bersama itu, bertujuan untuk memastikan usaha pembendungan kos dapat diagihkan secara sama rata di keseluruhan ekosistem penjagaan kesihatan.
Cadangan lain termasuk pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas insurans berkelompok untuk memberi insentif kepada ramai majikan dapat menyediakan perlindungan kepada pekerja, yang memanfaatkan kira-kira empat juta orang.
Selain itu, LIAM, MTA dan PIAM mencadangkan agar kerajaan melantik perunding bebas bagi menjalankan kajian terperinci mengenai inflasi tuntutan, dan mengesyorkan penyelesaian yang dipacu data untuk mengawal kos tuntutan yang bertambah.
"Insentif skim gaya hidup sihat melalui bonus tanpa tuntutan juga dicadangkan untuk menggalakkan pemegang polisi mengekalkan tahap kesihatan baik, sekali gus mengurangkan tuntutan perubatan yang tidak perlu," kata kenyataan itu.
Pada Disember 2024, BNM memperkenalkan langkah sementara untuk menyokong pemegang polisi yang terjejas oleh penetapan harga semula premium dengan tujuan mengurangkan tekanan kewangan, sambil memastikan akses berterusan kepada MHIT.
Ini termasuk melanjutkan kenaikan premium/caruman dalam tempoh tiga tahun (sehingga 2026) serta mengehadkan kenaikan tahunan di bawah 10 peratus untuk kira-kira 80 peratus pemegang polisi/pemegang sijil berkenaan.
BNM turut menawarkan pembekuan premium selama setahun untuk pemegang polisi/pemegang sijil berumur 60 tahun ke atas bagi pelan MHIT minimum manakala jika sudah luput pada 2024 disebabkan penetapan harga semula, mereka boleh mengembalikan semula perlindungan tanpa penajajaminan baharu. - DagangNews.com








