Indeks FBM KLCI meningkat kepada 1,948 mata minggu lalu meskipun risiko geopolitik kekal - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Indeks FBM KLCI meningkat kepada 1,948 mata minggu lalu meskipun risiko geopolitik kekal - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 21 April - Sasaran konsensus bottom-up FBM KLCI terus menunjukkan peningkatan meskipun ketidaktentuan global kekal tinggi susulan konflik di Timur Tengah, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan pemerhatian pasaran, sasaran indeks penanda aras itu meningkat daripada 1,905 mata pada akhir Februari kepada 1,948 mata pada akhir minggu lalu.

 

Perkembangan tersebut sekali gus melebarkan jurang antara sasaran konsensus dan paras semasa indeks daripada +188 mata kepada +252 mata dalam tempoh berkenaan.

 

Daripada keseluruhan 30 konstituen dalam FBM KLCI, sebanyak 21 syarikat mencatatkan kenaikan harga sasaran (TP) sejak Mac lalu, manakala hanya lapan syarikat mengalami penurunan dan satu kekal tidak berubah.

 

Antara yang mencatatkan peningkatan paling ketara ialah Petronas Chemicals Group Bhd dengan lonjakan TP sebanyak 89% daripada RM3.08 kepada RM5.82, didorong jangkaan manfaat daripada kos bahan mentah yang lebih rendah serta harga produk petrokimia yang lebih kukuh.

 

Kenaikan TP turut melibatkan syarikat berkaitan komoditi seperti Kuala Lumpur Kepong Bhd, SD Guthrie Bhd, PPB Group Bhd dan Press Metal Aluminium Holdings Bhd. Selain itu, sektor perbankan seperti RHB Bank Bhd, Hong Leong Bank Bhd, Public Bank Bhd dan Malayan Banking Bhd, turut mencatatkan peningkatan TP.

 

Sektor penjagaan kesihatan dan utiliti juga tidak terkecuali dengan peningkatan melibatkan IHH Healthcare Bhd, Sunway Healthcare Group, YTL Power International Bhd serta Tenaga Nasional Bhd.

 

Sebaliknya, Gamuda Bhd mencatatkan penurunan TP terbesar sebanyak 5% daripada RM5.77 kepada RM5.46, dipercayai susulan prestasi pendapatan separuh pertama tahun kewangan 2026 yang hanya mencapai 38% daripada anggaran konsensus tahunan.

 

Penurunan TP turut melibatkan syarikat telekomunikasi seperti Telekom Malaysia Bhd, Axiata Group Bhd, Maxis Bhd dan CelcomDigi Bhd, serta sektor pengguna termasuk Nestle (Malaysia) Bhd dan 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd.

 

Dalam pada itu, prestasi makroekonomi Malaysia yang kukuh terus menyokong sentimen pasaran. Anggaran awal menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.3% tahun ke tahun pada suku pertama 2026, mengatasi jangkaan 4.8% dan disokong pertumbuhan menyeluruh merentasi sektor utama.

 

Namun begitu, MBSB Research berpandangan penilaian ekuiti tempatan dijangka kekal sederhana dengan nisbah harga kepada pendapatan (PER) di bawah 16 kali, berikutan sentimen pelabur yang masih berhati-hati terhadap risiko luaran termasuk konflik geopolitik dan kesannya terhadap ekonomi global.

 

Mengambil kira faktor tersebut, sasaran top-down dikekalkan dengan FBM KLCI diunjurkan pada 1,800 mata bagi 2026 (PER 15.8 kali), manakala FBM Emas Shariah disasar pada 13,100 mata dan FBM 70 pada 18,900 mata. - DagangNews.com