KUALA LUMPUR 24 Nov – Kolej Universiti IJN (IJNUC) melangkah setapak ke hadapan dalam pengembangan akademiknya apabila memperkenalkan Program Sarjana Muda Psikologi (Kepujian), satu inisiatif strategik yang menekankan kepentingan psikologi dan kesejahteraan mental dalam sektor kesihatan moden.
Langkah tersebut menandakan usaha proaktif IJNUC untuk menyokong permintaan industri yang semakin memerlukan tenaga kerja profesional yang bukan sahaja kompeten secara klinikal, tetapi turut memahami dimensi tingkah laku manusia dalam rawatan holistik.
Program baharu ini dilaksanakan menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara IJNUC dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang membuka ruang kerjasama akademik lebih mendalam antara kedua-dua institusi.
Naib Canselor IJNUC, Dr Durrishah Idrus berkata, kerjasama itu memperkukuh aspirasi institusi untuk melahirkan graduan kesihatan yang seimbang antara kompetensi teknikal dan empati dalam merawat pesakit.
“Psikologi merupakan elemen penting dalam penjagaan kesihatan menyeluruh. Gabungan kekuatan pendidikan kesihatan IJNUC dan kecemerlangan akademik UPSI membolehkan kami melahirkan graduan yang kompeten serta berbelas ihsan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengikut perjanjian tersebut, UPSI akan bertindak sebagai badan penganugerahan, manakala IJNUC akan mengendalikan pelaksanaan program, termasuk latihan klinikal dan pendedahan kepada persekitaran kesihatan sebenar.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, kerjasama tersebut menyokong agenda nasional yang memberi penekanan lebih tinggi terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan emosi.
“UPSI berbangga bekerjasama dengan IJNUC dalam melahirkan graduan psikologi yang mampu mengaplikasi ilmu secara efektif dalam persekitaran kesihatan,” ujarnya.
Program Psikologi (Kepujian) berkenaan menampilkan kurikulum multidisiplin merangkumi teori, latihan klinikal dan pendedahan praktikal, sekali gus meningkatkan kefahaman pelajar mengenai aplikasi psikologi dalam rawatan serta kebolehpasaran mereka dalam pelbagai bidang profesional.
Penandatanganan MoA ini turut mengukuhkan komitmen IJNUC untuk terus memperluas pendidikan kesihatan melalui jaringan kerjasama strategik dengan universiti terkemuka.
Program tersebut dijangka ditawarkan bermula September 2025, tertakluk kepada kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (MOHE). - DagangNews.com








