KUALA LUMPUR 23 April - IJM Corporation Bhd menyasarkan untuk menyenaraikan perniagaan pembinaan terasnya sebelum akhir tahun 2027.
Rangka kerja bagi penyenaraian unit pembinaan beroperasi secara fokus tunggal itu dijangka dimuktamadkan dalam tempoh dua bulan akan datang, menurut Kenanga Investment Bank dalam satu laporan selepas bertemu dengan pihak pengurusan IJM.
Selepas dimuktamadkan, penyenaraian tersebut akan mengambil tempoh pelaksanaan selama 12 bulan, kata firma penyelidikan itu.
“IJM telah menubuhkan jawatankuasa peringkat lembaga pengarah bagi menyelia pelaksanaan program pengukuhan nilai aset selama tiga tahun,” kata Kenanga.
“Di peringkat pengurusan, IJM sedang bergerak ke arah penciptaan nilai seiring dengan usaha meningkatkan kecekapan operasi.”
Kenanga berkata, IJM merancang melaksanakan pelan membuka nilai aset dalam tempoh tiga tahun susulan tamatnya tawaran pengambilalihan oleh Sunway, sekali gus dijangka meningkatkan pulangan kepada pemegang saham dalam jangka sederhana.
Firma penyelidikan itu berkata, bagi tujuan itu, IJM telah menubuhkan jawatankuasa peringkat lembaga bagi memantau pelaksanaan inisiatif tersebut, manakala pihak pengurusan memberi tumpuan kepada usaha penciptaan nilai serta peningkatan kecekapan operasi.
Menurut Kenanga Research, antara pelan utama termasuk cadangan penyenaraian perniagaan pembinaan, pelupusan operasi di India serta potensi penyenaraian atau penubuhan amanah perniagaan bagi aset lebuh raya tempatan.
“Rangka kerja penyenaraian pembinaan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh dua bulan dengan garis masa pelaksanaan sekitar 12 bulan, manakala pelupusan di India dijangka mengambil masa sehingga dua tahun,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Dalam masa sama, penyenaraian aset lebuh raya dijangka mengambil tempoh lebih panjang berikutan keperluan mendapatkan kelulusan pihak berkuasa berkaitan pemilikan konsesi.
"Secara keseluruhan, tempoh sekitar tiga tahun dilihat munasabah untuk melengkapkan keseluruhan pelan membuka nilai aset tersebut," katanya.
Dari segi prestasi, tahun kewangan 2026 dijangka sederhana dengan segmen hartanah merekodkan kerugian sebelum cukai RM7.6 juta bagi tempoh sembilan bulan, dipengaruhi kos operasi tinggi di UK serta kesan pertukaran mata wang, selain jualan domestik yang lemah.
Prospek FY2027
Namun, prospek bagi tahun kewangan 2027 dilihat lebih positif, disokong oleh pemulihan pendapatan hartanah serta sumbangan kukuh daripada segmen pembinaan.
Ini termasuk pelaksanaan agresif dua projek pusat data utama bernilai RM1.40 bilion di Pulai dan kontrak teras serta struktur RM1.26 bilion di Elmina.
Setakat ini, IJM telah memperoleh kontrak baharu bernilai RM6.5 bilion, sekali gus mencapai sasaran penambahan kontrak tahunan sebanyak RM6 bilion hingga RM8 bilion.
Syarikat turut berpotensi meraih projek berskala besar lain termasuk LRT Mutiara Line Pulau Pinang serta projek perumahan penjawat awam di Nusantara bernilai melebihi RM1 bilion.
Dalam pada itu, tekanan kos input akibat konflik geopolitik global masih terkawal, namun berpotensi menjejaskan margin sekiranya berlarutan dalam tempoh lebih panjang.
Kenanga Research mengekalkan saranan “Outperform” terhadap IJM dengan harga sasaran RM3.40, disokong oleh keterlihatan pendapatan yang kukuh melalui buku pesanan pembinaan RM9.1 bilion serta jualan hartanah baharu berjumlah RM1.2 bilion.
Selain itu, pemilikan Pelabuhan Kuantan yang merupakan pelabuhan terbesar di Pantai Timur turut dijangka menyumbang kepada pertumbuhan berterusan kumpulan.
Antara risiko utama termasuk aliran kontrak yang lemah, lebihan kos projek serta kenaikan harga bahan binaan yang boleh menjejaskan margin keuntungan. - DagangNews.com








