KUALA LUMPUR 25 Mei - IJM Land Berhad menjalin kerjasama strategik dengan Southern Catalyst Sdn. Bhd. (SOCAT), sebuah syarikat berkaitan Ministry of Finance Incorporated (MOF Inc.) bagi membangunkan taman perindustrian dan komersial bernilai pembangunan kasar (GDV) RM1.96 bilion di Sedenak dalam kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Pembangunan membabitkan tanah seluas kira-kira 307.17 ekar itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh enam hingga lapan tahun dan menjadi sebahagian daripada pelan induk Southern Catalyst Innovation District seluas 2,940 ekar di Kulai.
Tapak projek itu terletak kurang tiga kilometer dari plaza tol Sedenak dengan akses terus ke Lebuhraya Utara-Selatan, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai hab industri strategik dalam koridor ekonomi JS-SEZ.
Menurut kenyataan bersama, pembangunan tersebut dirancang sebagai taman perindustrian masa hadapan yang menyokong industri bernilai tinggi termasuk pembuatan maju, biofarmaseutikal, tenaga boleh diperbaharui, logistik bersepadu serta teknologi pertanian dan makanan.
Kerjasama itu akan dilaksanakan menerusi syarikat usaha sama IJM Land Sedenak Sdn. Bhd., dengan IJM Land memegang 70% kepentingan ekuiti manakala SOCAT memiliki baki 30%.
Ketua Pegawai Eksekutif IJM Land Berhad, Datuk Tony Ling Thou Lung berkata, kerjasama tersebut merupakan langkah penting dalam strategi pengembangan industri syarikat.
“Pasaran industri di Johor terus menunjukkan momentum pertumbuhan kukuh, disokong kedudukan strategik berhampiran Singapura, kelebihan kos kompetitif dan aliran pelaburan langsung asing yang berterusan.
“Kerjasama strategik ini membolehkan IJM Land mengambil bahagian dalam pembangunan terancang di koridor pertumbuhan utama sambil memperkukuh keupayaan kumpulan dalam sektor industri,” katanya.
Beliau berkata, projek itu turut menyokong aspirasi Johor untuk muncul sebagai hab serantau bagi industri maju, inovasi dan aktiviti ekonomi rentas sempadan.
Agenda Keselamatan Makanan Negara
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi SOCAT, Mohd Shahreza Maswan berkata, pembangunan tersebut selaras dengan agenda keselamatan makanan negara serta pembangunan ekosistem industri mampan.
Katanya, Sedenak berpotensi menjadi hab logistik dan perindustrian serantau susulan kedudukannya dalam kawasan pertumbuhan tinggi JS-SEZ.
“Usaha sama ini akan mempercepat pembangunan ekosistem industri bersepadu meliputi penyelidikan dan pembangunan maju, infrastruktur logistik pintar serta keupayaan pembuatan generasi baharu,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama itu juga dijangka membantu menarik pelaburan global berkualiti tinggi dan memperkukuh kedudukan Johor sebagai gerbang ekonomi serantau berasaskan inovasi.
Kumpulan IJM turut mempunyai pengalaman luas dalam pembangunan industri berskala besar termasuk penglibatan dalam Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), taman industri nasional pertama Malaysia yang berjaya menarik pelaburan melebihi RM30 bilion. - DagangNews.com








