KUALA LUMPUR 19 Nov – IGB Bhd melalui anak syarikatnya, Bintang Sentral Sdn Bhd membeli tapak bekas taman tema Movie Animation Parks Studios (MAPS) di Perak pada harga RM43.65 juta bagi menambah bank tanah kumpulannya.
Dua lot tanah milik kekal seluas 24.3 ekar di Bandar Meru Raya, Ipoh itu diperoleh melalui satu perjanjian yang ditandatangani baru-baru ini.
IGB berkata, tapak tersebut sesuai untuk dibangunkan sebagai projek komersial campuran yang selaras dengan kepakaran kumpulan dalam pembangunan hartanah teras mereka.
“Ia adalah pelaburan menarik dengan potensi pembangunan yang signifikan berdasarkan harga pembelian yang berpatutan, lokasi strategik dan akses lebuh raya berdekatan,” kata IGB dalam satu kenyataan.
Namun, syarikat itu tidak mendedahkan entiti yang menjual tapak tanah tersebut dan transaksi ini tidak didaftarkan dengan Bursa Malaysia.
Pembelian tanah ini tertakluk kepada kelulusan daripada Kementerian Ekonomi dan pihak berkuasa negeri Perak bagi pindah milik tanah, yang dijangka diperoleh dalam tempoh enam bulan.
Urus niaga dijangka diselesaikan pada separuh kedua 2026.
MAPS, yang merupakan taman tema animasi pertama di Malaysia, ditutup secara kekal pada 2020 selepas menerima sambutan yang kurang menggalakkan sejak dibuka pada pertengahan 2017.
Taman ini dibina di atas tapak seluas 21 hektar dan diuruskan oleh Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP).
ATP bertanggungjawab untuk semua aspek pengurusan taman, termasuk penyelenggaraan, operasi harian dan pembangunan program hiburan bagi pengunjung.
Sebelum ini, 51 peratus saham ATP dimiliki oleh Perak Corp Bhd melalui anak syarikatnya, PCB Development Sdn Bhd.
ATP akhirnya menghadapi masalah kewangan serius dan diletakkan di bawah penerima pada akhir 2019.
Perak Corp kemudian menjual PCB Development kepada Rescene Sdn Bhd pada Mac 2024 dengan harga RM1.
Menurut laporan syarikat, keputusan melupuskan PCB Development dibuat selepas pertimbangan teliti terhadap kedudukan kewangan syarikat yang negatif, status syarikat yang tidak lagi beroperasi secara berterusan dan proses pembubaran sukarela oleh pemiutang.
Selepas penutupan MAPS, Perak Corp berada di bawah kategori PN17 pada Februari 2020 dan gagal membayar pinjaman termanya. - DagangNews.com








