KUALA LUMPUR 11 Nov - Kos input tinggi yang masih berterusan selain ketidaktentuan dalam permintaan eksport terus menekan pertumbuhan margin dan mengehadkan pemulihan keuntungan Hup Seng Industries Berhad, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun hasil pendapatan mencatat peningkatan tahun ke tahun, keuntungan operasi bagi 3QFY25 kekal mendatar pada +0.3% yoy kepada RM20.7 juta, disebabkan kenaikan kos input dan pengedaran, terutamanya kos penghantaran keluar dan kos pusat pengedaran untuk cawangan.
Katanya, keadaan ini menyebabkan margin keuntungan kasar kekal hampir tidak berubah pada +0.1 mata peratusan yoy kepada 31.5%.
"Keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (core PATANCI) pula menurun sebanyak -9.1% yoy kepada RM15.7 juta," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut MBSB, bagi tempoh sembilan bulan pertama FY25 (9MFY25), keuntungan operasi menurun 9.8% yoy kepada RM46.4 juta, manakala core PATANCI susut -13.9% yoy kepada RM35.1 juta, berikutan kenaikan harga bahan mentah tertentu yang menekan pertumbuhan margin, walaupun terdapat peningkatan dalam hasil jualan.
Kos pengedaran yang meningkat turut menjadi faktor yang membebankan prestasi keuntungan.
Secara keseluruhan, firma itu melihat keputusan kewangan Hup Seng bagi 3QFY25 adalah selaras dengan jangkaan, disokong oleh pertumbuhan hasil yang stabil hasil daripada peningkatan jualan domestik.
Sehubungan itu MBSB mengekalkan saranan NEUTRAL bagi saham Hup Seng dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM0.92.
"Ini berdasarkan penilaian Model Diskaun Dividen (DDM) dengan andaian pertumbuhan dividen konsisten sebanyak 3.0% dan kos purata wajaran modal (WACC) sebanyak 9.1%.
"Hasil dividen dijangka kekal menarik, namun kami menjangkakan halangan keuntungan jangka pendek akan terus mengehadkan potensi kenaikan harga saham dalam masa terdekat," katanya.
MBSB menambah, jualan domestik dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh jenama kukuh dan kehadiran pasaran yang mapan.
"Walau bagaimanapun, sebarang pemulihan margin yang bermakna bergantung kepada penstabilan harga bahan mentah dan pemulihan berterusan dalam permintaan eksport," katanya. - DagangNews.com








