KUALA LUMPUR 16 April - Human Resource Development Corporation (HRD Corp) melantik Datuk Rusli Jaafar sebagai Pengerusi baharu berkuat kuasa 1 April 2026.
Pelantikan itu dilihat mampu memperkukuh peranan HRD Corp dalam memacu pembangunan kemahiran, latihan tenaga kerja serta kelestarian modal insan selaras keutamaan negara dan keperluan semasa majikan serta pekerja.
Rusli memiliki lebih 32 tahun pengalaman luas dalam sektor perkhidmatan awam dengan rekod kepimpinan yang disifatkan cemerlang dalam memperkukuh kapasiti institusi, memacu transformasi organisasi serta memperluas impak pembangunan sosioekonomi.
Beliau memulakan perkhidmatan bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), yang sebelum ini dikenali sebagai Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia, pada tahun 1993.
Pada 2022, beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SKM dan memegang jawatan itu sehingga 2025.
Datuk Rusli memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Rekod cemerlang di SKM
Sepanjang kerjayanya, beliau pernah memegang pelbagai jawatan kanan merangkumi bidang dasar, operasi, tadbir urus dan hal ehwal antarabangsa.
Beliau turut mengetuai pelbagai inisiatif strategik termasuk pelan pendigitalan SKM serta pembangunan dasar koperasi kebangsaan.
Di bawah kepimpinannya, SKM mencatat pertumbuhan berterusan apabila jumlah aset gerakan koperasi di Malaysia yang diuruskan agensi itu mencecah kira-kira RM186 bilion setakat Disember 2025.
Pada tempoh sama, syer dan yuran koperasi pula melebihi RM18 bilion, sekali gus mencerminkan peranan besar sektor koperasi dalam pembangunan sosioekonomi negara.
Tunggakan pembiayaan di bawah Tabung Modal Pusingan SKM (TMP-SKM) juga berjaya dikurangkan kepada RM11.33 juta pada 2025 berbanding RM20.67 juta sebelumnya.
Pencapaian itu direkodkan meskipun negara berdepan cabaran pasca pandemik COVID-19, hasil pelaksanaan beberapa strategi berkesan yang diterajui beliau.
Pencapaian dan pengiktirafan
Pada 2024, pendaftaran koperasi baharu di bawah SKM buat pertama kali melepasi 1,000 setahun berbanding purata sekitar 600 setahun pada tahun-tahun sebelumnya.
Kejayaan tersebut dipacu menerusi pelaksanaan program kesedaran dan promosi yang agresif bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam gerakan koperasi.
Selain itu, SKM turut memperoleh Sijil Audit Tanpa Teguran bagi penyata kewangan berakhir 31 Disember 2022, 2023 dan 2024.
Laporan juruaudit mengesahkan penyata kewangan berkenaan memberi gambaran benar dan saksama terhadap kedudukan kewangan SKM, prestasi kewangan serta aliran tunainya bagi tempoh terbabit.
Sumbangan Rusli turut diiktiraf menerusi beberapa Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).
Beliau juga dikurniakan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) pada 2024, manakala SKM di bawah pimpinannya menerima Penghargaan Khas Organisasi pada Malaysia Franchise Awards Night 2024. - DagangNews.com








