KUALA LUMPUR 29 Jan – Honda Malaysia mencatatkan penjualan sebanyak 72,301 unit pada 2025, sekali gus memegang 8.8% pasaran dan mengekalkan kedudukan sebagai peneraju segmen kenderaan penumpang bukan nasional untuk tahun ke-12 berturut-turut.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, pencapaian tersebut didorong oleh portfolio produk yang seimbang, permintaan kukuh terhadap teknologi hibrid serta kepercayaan berterusan pelanggan terhadap jenama asing berkenaan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata, prestasi kukuh pada 2025 mengukuhkan keyakinan syarikat terhadap hala tuju produknya serta komitmen jangka panjang dalam menyediakan rumusan elektrifikasi yang praktikal.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pelanggan atas keyakinan dan kepercayaan berterusan terhadap jenama Honda. Sokongan padu semua pihak berkepentingan serta Kerajaan Malaysia turut menjadi pemangkin kepada usaha kelestarian dan elektrifikasi kami,” katanya.
Menurut beliau, genap 21 tahun (2004–2025) sejak pengenalan teknologi hibrid Honda, pengukuhan barisan model hibrid merentasi segmen utama kekal sebagai keutamaan strategik syarikat.
“Dengan integrasi teknologi hibrid termaju, kami berhasrat untuk menawarkan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan dan bernilai kepada setiap pelanggan, di samping menyokong pertumbuhan jangka panjang dan masa depan yang lebih lestari,” katanya.
Honda Malaysia berkata, permintaan konsisten dalam segmen sedan dan SUV menjadi pemacu utama jualan, dengan HR-V, City dan CR-V masing-masing menyumbang 25%, 24% dan 15% daripada jumlah keseluruhan jualan syarikat.
Dalam masa sama, varian e:HEV turut mencatatkan sumbangan signifikan, apabila HR-V dan CR-V masing-masing menyumbang lebih 30% daripada jumlah jualan hibrid, mencerminkan penerimaan positif pengguna terhadap teknologi elektrifikasi Honda.
Menurut kenyataan itu, hubungan kukuh dengan pelanggan turut diperkukuh menerusi sambutan ulang tahun ke-25 Honda Malaysia pada Oktober 2025 melalui kempen “Because of You”, yang menampilkan cabutan bertuah selama tiga bulan sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan.
Honda Malaysia hari ini turut mengumumkan dua pemenang terakhir bagi Disember 2025, yang masing-masing membawa pulang City 1.5L RS dan HR-V 1.5L T V.
Mengulas prestasi keseluruhan, Honda Malaysia berkata pencapaian pada 2025 mencerminkan asas perniagaan yang kukuh berteraskan kepercayaan pelanggan, keyakinan terhadap teknologi Honda serta konsistensi dalam kecemerlangan perkhidmatan, sekali gus meletakkan syarikat pada kedudukan yang bersedia untuk fasa pertumbuhan seterusnya. - DagangNews.com








