Hock Soon Capital susut 7 sen di bawah harga IPO pada penampilan sulung di Papan Utama bursa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hock Soon Capital susut 7 sen di bawah harga IPO pada penampilan sulung di Papan Utama bursa

KUALA LUMPUR 13 Feb - Hock Soon Capital Bhd membuat penampilan sulung yang suram di Pasaran Utama Bursa Malaysia apabila dibuka pada harga 53 sen, iaitu 7 sen lebih rendah berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 60 sen, susulan permintaan pelabur yang lebih lemah daripada jangkaan.

 

Menjelang penyenaraian itu, saham IPO pengeluar ayam berpangkalan di Perak berkenaan terlebih langgan hanya 0.36 kali.

 

Pengarah Eksekutif, Alex Ong berkata, syarikat kekal memberi tumpuan kepada pelan pengembangan jangka panjangnya walaupun pembukaan harga lebih rendah.

 

“Harga pembukaan mungkin lebih rendah daripada harga IPO kami, namun dari perspektif kami, tumpuan harus diberikan kepada pelan pengembangan. Saya percaya kami mempunyai asas yang kukuh dan trajektori pertumbuhan yang baik,” katanya pada sidang media sempena penyenaraian tersebut.

 

Beliau berkata, keutamaan segera kumpulan adalah pembangunan projek pengembangan di Teluk Intan yang dijangka mengukuhkan kapasiti pengeluaran secara berperingkat.

 

“Pengukuhan ringgit juga akan membantu mengurangkan kos makanan ternakan kerana kebanyakan bahan makanan kami diperoleh dari luar negara,” katanya sambil menambah bahan tersebut lazimnya diimport dari Argentina, Brazil dan Ukraine.

 

Mengulas mengenai pemansuhan subsidi kerajaan kepada pengeluar telur, Ong berkata, bantuan itu diperkenalkan ketika pandemik bagi mengurangkan kesan kawalan harga susulan kekurangan bekalan.

 

“Walaupun tanpa subsidi, kami percaya dapat mengekalkan pendapatan yang baik dan kekal berdaya tahan kerana telur merupakan makanan ruji dengan permintaan yang konsisten,” katanya.

 

Beliau turut menggariskan rancangan untuk menembusi pasaran Singapura dengan audit telah selesai dijalankan pada Julai tahun lalu. Syarikat kini menunggu maklum balas daripada Agensi Makanan Singapura yang dijangka diterima pada suku pertama tahun ini.

 

“Pada peringkat awal, sasaran kami adalah untuk mencapai sekurang-kurangnya lima peratus sumbangan hasil daripada eksport ke Singapura,” katanya.

 

Dari segi kecekapan operasi, Ong berkata, kumpulan berhasrat mencontohi kaedah penternakan moden yang digunakan di fasiliti sedia ada bagi projek Teluk Intan, di samping terbuka untuk mengguna pakai teknologi baharu yang bersesuaian. – Bernama