HLISB, Paynet bekerjasama perkukuh ekosistem Fintech melalui Go Barakah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLISB, Paynet bekerjasama perkukuh ekosistem Fintech melalui Go Barakah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Mac — Hong Leong Islamic Bank (HLISB) merancang untuk membina ekosistem teknologi kewangan (FinTech) baharu yang menyalurkan sumbangan dan dana kepada komuniti terpinggir menerusi sebuah pemaju platform Fintech tempatan, GoBarakah.
 

Kerjasama di bawah program PayNet Cambah oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) itu menukarkan sumbangan korporat dan awam, atau 'dana untuk kebaikan', menjadi e-baucar, untuk memastikan aset dalam inisiatif amal derma kekal teratur telus.
 

Menerusi GoBarakah, HLISB mewujudkan ekosistem yang boleh membantu menyampaikan pembiayaan sosial dengan lebih berkesan kepada komuniti yang terpinggir, sekali gus mengembangkan dan mendigitalkan inisiatif pengantaraan berasaskan nilai (VBI) dan pelaburan komuniti mereka.
 

"Kerjasama ini, yang dibentuk dengan Paynet, menekankan komitmen HLISB untuk meningkatkan dan memperkukuh inisiatif VBI sambil menerapkan prinsip-prinsip tersebut ke dalam perkhidmatan Syariah dan strategi perniagaan bank," katanya dalam satu kenyataan.
 

Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif HLISB, Dafinah Ahmed Hilmi dan Ketua Pegawai Eksekutif GoBarakah, Firdaus Mohamed yang disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad.
 

Mengulas mengenai MoU terbaharu berkenaan, Dafinah berkata, HLISB percaya kepada kuasa kerjasama strategik untuk menjana impak kolektif dan ia juga selaras dengan matlamat untuk menjadikan bank tersebut lebih berfokuskan digital serta berpusatkan komuniti.
 

"Kami komited bekerjasama dengan pemain industri utama menambah baik rumusan perbankan, meluaskan jangkauan, dan menerapkan kehadiran dalam komuniti. Ini langkah strategik ke arah mengembangkan usaha perbankan bertanggungjawab dan pertingkat ekosistem VBI kami," katanya.

 

Bagi beliau, VBI bukan hanya membantu komuniti kerana ia juga membina kepercayaan antara HLISB dengan pelanggan, komuniti, dan pihak berkepentingan industri yang lain dengan komponen utama falsafah VBI HLISB ialah ketelusan dan tanggungjawab.
 

Langkah itu memastikan HLISB mematuhi piawaian industri dan sentiasa memaklumkan pihak berkepentingan mengenai kemajuannya dan dengan pemikiran tersebut, pihaknya berusaha untuk mengintegrasikan impak sosial ke dalam operasi dan strategi perniagaan terasnya.
 

"GoBarakah akan menjadi tambahan yang berharga kepada ekosistem VBI kami. Dengan ini, kami dapat menjalankan pelbagai inisiatif pembiayaan sosial secara digital, sambil memastikan ia ada konsistensi dan ketelusan,” kata Dafinah.
 

Sementara itu, Firdaus berkata, kerjasama ini merupakan pencapaian baharu dalam pertumbuhan platform Fintech tersebut dan pihaknya berusaha untuk mendigitalkan proses pembiayaan sosial, menjadikannya lebih mudah dan telus untuk disalurkan kepada komuniti terpinggir.
 

Dengan diwujudkan ekosistem digital yang lancar, banyak syarikat boleh menyediakan skim pembiayaan dan sumbangan kepada perusahaan sosial, rumah kebajikan, dan komuniti sambil menjejaki bila, bagaimana dan di mana dana diguna serta memastikan pembiayaan kekal telus.
 

"Platform ini bertanggungjawab, dan yang paling penting memenuhi keperluan sebenar penerima. Melalui kerjasama ini dengan HLISB, kami berharap untuk terus memudahkan pembiayaan sosial dan memperkasakan lebih banyak komuniti pada masa depan,” katanya. - DagangNews.com