KUALA LUMPUR 17 Sept – Hibiscus Petroleum Bhd telah memulakan aktiviti penggerudian di medan Teal West di Laut Utara United Kingdom (UK), menjadikannya hanya satu daripada tiga telaga pembangunan yang dimulakan di UK Continental Shelf (UKCS) pada tahun ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, penggerudian tersebut menggunakan pelantar Shelf Drilling Fortress yang dihantar dari Invergordon, Scotland awal September, dan operasi secara rasmi bermula pada 14 September 2025.
Telaga yang siap digerudi kelak akan disambungkan ke kemudahan Anasuria FPSO (Floating Production, Storage and Offloading), dengan kerja-kerja pemasangan dasar laut dijadualkan pada suku kedua (2Q) 2026, manakala pengeluaran pertama minyak (first oil) dijangka menjelang pertengahan 2026.
Pengoperasian FPSO Anasuria dijalankan oleh Anasuria Hibiscus UK Ltd (AHUK), anak syarikat Hibiscus Petroleum, melalui usaha sama dengan Ping Petroleum UK, cabang milik penuh Dagang NeXchange Bhd (DNeX).
Pengurus Besar AHUK, Tom Reeve menegaskan komitmen syarikat untuk terus melabur di perairan UK meskipun berdepan cabaran industri, termasuk ketidaktentuan dasar fiskal dan tekanan kos operasi.
“Kami percaya aspek seperti keselamatan tenaga, kos alam sekitar import LNG dan pemeliharaan pekerjaan tempatan akan akhirnya mendorong kerajaan UK menyemak semula rejim fiskal semasa secara lebih positif dan proaktif,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa fokus utama ketika ini ialah memastikan operasi penggerudian berjalan dengan selamat dan mencapai prestasi kelas atasan (top quartile).
Langkah strategik Hibiscus Petroleum ini mencerminkan usaha syarikat tempatan untuk memperluas kehadiran dalam pasaran tenaga antarabangsa, sejajar dengan agenda negara dalam membangunkan kepakaran huluan (upstream) dan memperkukuh pelaburan luar negara.
Dengan pelaksanaan projek Teal West, AHUK dijangka meningkatkan aliran hasil kumpulan, mengoptimumkan penggunaan FPSO Anasuria dan menyumbang kepada agenda keselamatan tenaga UK yang kini bergelut dengan kebergantungan kepada LNG import.
Dalam persekitaran industri tenaga global yang semakin mencabar akibat peralihan tenaga dan tekanan ESG, pelaburan sebegini memberi nilai tambah strategik kepada pelabur dan ekonomi negara. - DagangNews.com








