KUALA LUMPUR 22 Mei - Hibiscus Petroleum Bhd mencatat pemulihan prestasi kewangan apabila kembali merekodkan keuntungan bersih RM80.11 juta bagi suku ketiga FY2026 berbanding kerugian bersih RM115.97 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan sesaham meningkat kepada 10.86 sen berbanding kerugian sesaham 15.4 sen sebelum ini.
Bagaimanapun, hasil suku tahunan susut kepada RM517.76 juta berbanding RM572.8 juta pada suku perbandingan terdahulu.
Dalam satu kenyataan, syarikat berkata prestasi itu disokong purata harga direalisasikan minyak dan kondensat sebanyak AS$76.7 setong.
“Kumpulan menyaksikan harga direalisasikan minyak dan gas yang lebih tinggi pada suku keempat FY2026 dengan pengambilan minyak bagi April dan Mei 2026 yang mewakili kira-kira 65% daripada jumlah minyak dijangka dijual dalam Q4FY26 mencatat harga direalisasikan melebihi AS$120 setong,” kata kenyataan itu.
Jumlah jualan bagi suku ketiga FY2026 adalah sebanyak 2.3 juta tong setara minyak (MMboe) melibatkan minyak, kondensat dan gas sekali gus menjadikan jumlah jualan bagi sembilan bulan FY2026 sebanyak 6.7MMboe.
Hibiscus Petroleum berkata, kumpulan juga kekal berada di landasan tepat untuk mencapai panduan pengeluaran FY2026 antara 9.0MMboe hingga 9.4MMboe.
Dividen Tiga Sen Sesaham
Sementara itu Pengarah Urusannya, Datuk Kenneth Pereira berkata, kumpulan itu menjangkakan harga minyak yang kukuh serta premium minyak yang menggalakkan akan terus menyokong momentum pendapatan dan aliran tunai kumpulan sehingga suku keempat FY2026.
Kumpulan turut mengumumkan dividen interim ketiga sebanyak tiga sen sesaham dengan tarikh kelayakan pada 19 Jun 2026 dan pembayaran dibuat pada 17 Julai 2026.
Bagi tempoh sembilan bulan FY2026, Hibiscus Petroleum mencatat keuntungan bersih RM170.55 juta berbanding RM42.89 juta pada tempoh sama FY2025.
Hasil bagi tempoh itu bagaimanapun berkurangan kepada RM1.5 bilion daripada RM1.7 bilion sebelumnya.
Menurut Pereira, kumpulan terus mencatat kemajuan operasi yang positif termasuk kejayaan memulakan projek LPC Brunei serta perkembangan berterusan ke arah pengeluaran minyak pertama daripada pembangunan Teal West menjelang pertengahan 2026.
“Perkembangan ini akan terus menyokong sasaran pengeluaran bersih misi 2026 sebanyak 35,000 tong setara minyak sehari menjelang akhir 2026,” katanya.
Beliau berkata, kumpulan juga terus mempercepat pembangunan projek-projek bagi meningkatkan pengeluaran selain berunding dengan pelabur strategik berpotensi yang berwibawa untuk membuka lebih banyak nilai jangka panjang kepada pemegang saham. - DagangNews.com








