HI Mobility dijangka raih manfaat daripada pelaksanaan bas EV negara – CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HI Mobility dijangka raih manfaat daripada pelaksanaan bas EV negara – CIMB Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 Nov - HI Mobility Bhd dijangka menjadi antara penerima manfaat utama pelaksanaan bas elektrik (EV) negara yang disokong oleh peruntukan RM1.9 bilion daripada Kementerian Kewangan bagi menaik taraf bas EV dan diesel, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.

 

Syarikat itu kini mengembangkan operasi ke dalam segmen pemasangan dan pengedaran kenderaan komersial melalui pengambilalihan bernilai RM82.52 juta melibatkan Acacia Motor Services dan Handal BCM, yang bakal dibiayai melalui terbitan saham baharu.

 

CIMB Securities berkata langkah pengambilalihan tersebut akan mengukuhkan daya saing HI Mobility dengan menambah keupayaan pemasangan dan pengedaran secara dalaman.

 

“Ini akan membolehkan kumpulan membuat bidaan secara lebih efektif bagi tender bas EV bersepadu yang memerlukan penyampaian menyeluruh merangkumi pembekalan kenderaan, operasi dan penyelenggaraan,” katanya dalam satu nota.

 

Katanya, usaha itu selari dengan peruntukan kementerian bagi pembekalan 1,660 unit bas, termasuk 1,350 unit bas EV dan diesel.

 

“Acacia telah pun memperoleh tempahan sebanyak 262 unit bas untuk dihantar menjelang akhir Disember 2025 hingga awal 2026, satu lonjakan besar berbanding 50 unit yang dihantar pada tahun kewangan 2025 (FY25),” tambahnya.

 

CIMB Securities melihat kedua-dua pengambilalihan itu sebagai menambah nilai pendapatan walaupun wujud pencairan saham, dan menjangkakan para pemegang saham akan menyokong cadangan tersebut memandangkan kesannya yang positif terhadap pendapatan sesaham (EPS).

 

Firma itu turut menaikkan unjuran keuntungan bersih FY27–FY28 sebanyak 13–15 peratus serta unjuran EPS sebanyak enam hingga tujuh peratus, sekaligus meletakkan HI Mobility pada kedudukan untuk mencatat kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) kukuh sebanyak 26.3 peratus bagi keuntungan bersih teras dari FY25 hingga FY28.

 

“Kami mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran baharu RM3.10, meningkat daripada RM2.90.

 

“Kami terus melihat HI Mobility sebagai penerima manfaat utama daripada pemacu infrastruktur Johor, termasuk projek pemangkin seperti Sistem Transit Rapid Johor–Singapura (RTS Link) dan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ),” katanya.- DagangNews.com