KUALA LUMPUR 14 Nov - HI Mobility Berhad mengumumkan langkah strategik terbaharunya apabila memasuki dua perjanjian jual beli saham bersyarat bagi mengambil alih Handal BCM Sdn Bhd dan Acacia Motor Services Sdn Bhd, sekali gus mengukuhkan keupayaannya sebagai pemain lebih menyeluruh dalam industri kenderaan komersial dan pengangkutan massa.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, nilai pengambilalihan masing-masing RM52.90 juta bagi Handal BCM dan RM29.63 juta bagi Acacia akan diselesaikan melalui penerbitan 22.04 juta dan 12.34 juta saham baharu HI Mobility pada harga RM2.40 sesaham, berdasarkan perjanjian antara pembeli dan penjual.
Langkah ini meletakkan HI Mobility sebagai pemain bersepadu merentasi seluruh rantaian nilai — termasuk pemasangan, pengeluaran, pengedaran, jualan, penyelenggaraan dan pembaikan — yang melengkapkan kepakaran terasnya dalam sektor transit massa, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat dalam landskap industri yang semakin berkembang.
Acacia, yang terlibat dalam pembuatan, pemasangan, pengeluaran, pengedaran serta penyelenggaraan bas elektrik (EV) dan bas enjin pembakaran dalaman (ICE), dijangka membolehkan HI Mobility meningkatkan kapasiti armadanya untuk menyokong keperluan tender semasa dan akan datang.
Pemain dengan penyelesaian bersepadu juga berada pada kedudukan lebih baik untuk memperoleh kontrak bagi kedua-dua jenis bas EV dan ICE.
Pengambilalihan Handal BCM, yang pakar dalam pengimportan, pengedaran dan penjualan kenderaan bermotor, dijangka mewujudkan sinergi operasi dalam Kumpulan, selain membawa rangkaian pelanggan dan pembekal sedia ada untuk menyokong pertumbuhan skala dan penyebaran armada.
Digabungkan dengan kepakaran HI Mobility dalam pengurusan armada berasaskan teknologi dan kemudahan bengkel, sinergi ini dijangka meningkatkan kebolehpasaran kenderaan, membuka peluang penawaran perkhidmatan bersepadu dan menambah sumber pendapatan baharu.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif HI Mobility, Lim Chern Chuen, berkata langkah pengambilalihan ini menandakan evolusi syarikat daripada pengendali perkhidmatan kepada pemain yang lebih bersepadu dalam industri kenderaan komersial.
“Melalui integrasi Handal BCM dan Acacia, kami bertujuan mengukuhkan operasi bas teras kami melalui sinergi bermakna, meningkatkan kecekapan serta mewujudkan rantaian nilai pengangkutan yang lebih bersepadu dan lancar untuk pertumbuhan jangka panjang yang mampan,” katanya.
Beliau menambah bahawa prospek sektor EV semakin memberangsangkan, dengan RM1.9 bilion telah diperuntukkan kepada sebuah syarikat pengangkutan awam milik kerajaan untuk memperoleh kira-kira 1,660 bas, termasuk 1,350 bas elektrik.
“Memandangkan perkembangan ini, kami optimis bahawa penyatuan Handal BCM dan Acacia akan memberikan kelebihan sinergi, membantu HI Mobility mencapai skala ekonomi merentasi perolehan, logistik dan pengeluaran, di samping pengurangan kos overhed melalui penyelarasan fungsi bertindih. Keseluruhannya, impak kewangan ini dijangka meningkatkan keuntungan serta nilai kepada pemegang saham,” jelasnya.
Acacia kini dimiliki oleh Lim Han Weng dan Bah Kim Lian, kedua-duanya pemegang saham utama HI Mobility. Kim Lian juga merupakan pengarah bukan bebas bukan eksekutif syarikat.
Handal BCM pula dimiliki oleh Handal Ventures Sdn Bhd dan Liberal Option Sdn Bhd, dengan Handal Ventures dikawal oleh Lim Han Weng dan Bah Kim Lian. - DagangNews.com








