Helikopter pengganti Nuri perlu ada keupayaan serupa, boleh angkut meriam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Helikopter pengganti Nuri perlu ada keupayaan serupa, boleh angkut meriam

Helikopter Nuri mempunyai keupayaan yang tinggi selain lasak dan mampu membawa beban berat termasuk meriam.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

Isu pajakan helikopter untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi keselamatan lain yang diputuskan kerajaan terus diperdebatkan.

 

Daripada 28 buah helikopter yang disewa ini, 12 buah adalah jenis Leonardo AW149 untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

Di atas kertas, AW149 merupakan helikopter saiz sederhana moden sarat dengan teknologi terkini termasuk untuk menerbangkan anggota tentera ke kawasan operasi berisiko.

 

 

Sejak beberapa minggu lalu isu keupayaan helikopter itu dibangkitkan oleh ahli parlimen pembangkang, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) di Parlimen.

 

Helikopter
Helikopter AW149.

 

Ikmal Hisham pada penggal lalu merupakan bekas Timbalan Menteri Pertahanan.

 

Beliau membangkitkan kemusykilan tentang keupayaan helikopter Leonardo AW149 yang dikatakan tidak sesuai serta tidak memenuhi aspek keperluan operasi harian ATM.

 

Pertikaian utama ialah sama ada helikopter tersebut mampu atau tidak melaksanakan tindakan underslug untuk mengangkut meriam artileri jenis 105 milimeter (mm).

 

Kerajaan menafikan memberi penjelasan yang mengelirukan berhubung isu pemajakan 28 unit helikopter menerusi kontrak bernilai RM16.6 bilion bagi tempoh 15 tahun bagi kegunaan pasukan keselamatan negara.

 

Helikopter
Helikopter Nuri dan EC725AP TUDM.

 

Helikopter
Pesawat EC725AP mengangkut meriam 105mm secara underslug.

 

Walaupun Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ada memberikan penjelasan, tetapi keupayaan tentang kebolehan underslug tidak diperincikan.

 

Underslug merupakan kaedah mengangkut beban secara gantung di bawah helikopter termasuk meriam untuk diterbangkan secara taktikal ke kawasan operasi.

 

Menerusi cara ini, atur gerak meriam boleh dilaksanakan dengan pantas terutamanya di kawasan yang sukar dilalui dengan jalan darat.

 

Berbanding menggugurkan meriam menggunakan payung terjun daripada kapal terbang, penghantaran secara underslug adalah lebih khusus dengan jarak penerbangan tertentu.

 

Atas sebab ini juga ATM sejak 60 tahun lalu meletakkan ciri-ciri sedemikian mesti ada pada helikopter saiz sederhana yang dibeli.

 

Helikopter

 
Helikopter

 

 

Helikopter Sikorsky S-61A-4 Nuri dan Airbus EC725AP TUDM boleh melakukan underslug.

 

Sebelum rancangan tentang pajakan secara GOCOM ini, TUDM pada tahun 2021 telah menetapkan untuk memiliki 24 buah helikopter utiliti dengan keupayaan mencari dan menyelamat (SAR) bagi menggantikan Nuri.

 

Perolehan ini akan dibuat helikopter pada Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030) dan Rancangan Malaysia Ke-14 (2031-2035).

 

Panglima TUDM ketika itu, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, pembelian helikopter baharu ini memenuhi keperluan TUDM terutama dalam melaksanakan operasi mobiliti udara.

 

Nuri misalnya menjadi kuda udara sepanjang dioperasikan terutama semasa operasi di hutan untuk membawa bekalan termasuk memindahkan meriam.

 

Helikopter
Helikopter EC725AP semasa melakukan latihan SAR.

 

Helikopter
Helikopter AW139 milik Tentera Ireland melakukan underslug membawa meriam 105mm semasa latihan.

 

Meriam Oto Melara L5 105mm Pack-Howitzer digunakan secara meluas oleh Tentera Darat termasuk jenis baharu iaitu Nexter LG1 MK III.

 

Bentuknya yang kompak dengan berat kira-kira 1,650 kilogram (kg) sesuai untuk dioperasikan mengikut geografi negara ini.

 

Jika merujuk tentang keupayaan AW149 yang dinyatakan oleh pihak pengeluar, Leonardo Helicopter, tidak disebut tentang kebolehan pesawat ini melakukan underslug.

 

Cuma disebut helikopter boleh mengangkat beban sehingga berat 2,720kg menggunakan pencangkuk atau hook di bawah pesawat.

 

Meriam
Meriam Nexter LG1 MK III Tentera Darat.

 

Meriam

 

Justeru, secara teorinya AW149 dikatakan mampu berbuat demikian berdasarkan kapasiti underslung tersebut yang dalam julat berat selaras meriam 105mm.

 

Bagaimana pun, sehingga kini belum ada demonstrasi dilakukan oleh pihak syarikat kepada ATM bagi menunjukkan keupayaan mengangkut meriam secara underslug.

 

Helikopter lain dengan kapasiti underslung yang serupa atau lebih rendah pernah dilakukan pesawat AW139 (kapasiti 2,500kg).

 

Helikopter milik Tentera Udara Ireland ini telah berjaya membawa meriam L118 iaitu jenis sama dengan 105mm semasa latihan.

 

Memandangkan AW149 direka bentuk sebagai helikopter utiliti tentera, kemungkinan besar ia boleh melaksanakan peranan ini berdasarkan spesifikasinya di atas kertas.

 

Keupayaan ini akan lebih diyakini jika kerajaan meminta pengeluar pesawat melakukan demonstrasi untuk mengesahkan kebolehan AW149 dalam operasi sebenar sebagai pengganti Nuri. - DagangNews.com