KUALA LUMPUR 24 Jun – Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) mengorak langkah strategik dengan mempelbagaikan portfolio pelaburannya ke dalam sektor industri dan tenaga boleh diperbaharui melalui pengambilalihan 90% kepentingan dalam Terramark Sdn Bhd daripada Wan Realty Sdn Bhd dan Darul Modal Sdn Bhd dengan nilai RM26 juta.
Menerusi makluman di Bursa Malaysia, Hektar REIT menyatakan Terramark memiliki sebidang tanah pertanian pajakan selama 60 tahun seluas kira-kira 197.76 ekar di Perlis yang dirancang untuk ditukar status kepada kegunaan perindustrian.
“Dengan pengambilalihan kepentingan majoriti dalam Terramark yang memiliki bank tanah strategik di Chuping, Perlis, Hektar REIT akan mengembangkan pendedahan asetnya melepasi hartanah runcit.
“Langkah ini bukan sahaja mengukuhkan kehadiran REIT dalam sektor berimpak tinggi, malah turut membuka laluan kepada manfaat daripada peralihan tenaga boleh diperbaharui negara melalui potensi pembangunan ladang solar di kawasan tersebut,” kata syarikat itu.
Tanah berkenaan sebelum ini digunakan sebagai ladang tebu, namun kini dalam proses transformasi menjadi hab industri dan tenaga hijau. Lokasinya juga amat strategik, hanya 8.8 kilometer dari Jalan Kangar–Padang Besar dan 10.9 kilometer dari Lebuhraya Changlun–Kuala Perlis.

“Pengambilalihan ini merupakan lonjakan besar dalam strategi pemelbagaian Hektar REIT.
"Dengan memperoleh tanah yang berpotensi tinggi untuk solar, kami sedang menanam benih pendapatan jangka panjang yang terlindung daripada inflasi, sejajar dengan aspirasi tenaga boleh diperbaharui negara.
“Digabungkan dengan pelaksanaan sistem solar bumbung dan pelaburan industri baru-baru ini, langkah pertama kami melalui model pajakan tanah sepenuhnya ini meletakkan Hektar REIT sebagai platform multi-aset yang mencipta nilai mampan.
"Di peringkat global, REIT yang menggabungkan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui semakin mendapat minat pelabur institusi, didorong mandat ESG dan profil hasil yang stabil,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management, Zainal Iskandar dalam satu kenyataan.
Langkah strategik ini dijangka mengukuhkan lagi kedudukan Hektar REIT dalam landskap pelaburan mampan, selaras dengan hala tuju negara ke arah ekonomi hijau berdaya tahan. - DagangNews.com








