Heitech Padu komited laksana projek hidro RM1 bilion di Sungai Perak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Heitech Padu komited laksana projek hidro RM1 bilion di Sungai Perak

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Mac — HeiTech Padu Berhad mengesahkan komitmennya untuk melaksanakan bahagian kontrak syarikat tersebut yang berjumlah RM902.96 juta dalam Program Lanjutan Hayat Hidro (LEP) Sungai Perak.
 

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu sudah bersedia untuk menyumbang kepada tanggungjawab kontrak dengan berkesan, selain menyumbang kepada kemampanan tenaga Malaysia secara jangka panjang.
 

Keyakinan itu juga berdasarkan rekod prestasi yang terbukti dalam projek infrastruktur tenaga, perkongsian strategik dengan Voith Hydro GmbH & Co KG dari Austria dan perancangan kewangan yang mantap.

 

 

HeiTech Padu menerima surat penerimaan kontrak dari TNB Power Generation Sdn Bhd untuk projek LEP Sungai Perak pada bulan lalu yang menetapkan bahawa pihak konsortium akan menjalankan pelbagai kerja-kerja awam.
 

Ia meliputi usaha kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta yang berkaitan dengan elektrik untuk stesen janakuasa Temengor, Bersia dan Kenering yang keseluruhannya bernilai RM1.04 bilion.
 

Bahagian kontrak HeiTech Padu adalah berjumlah RM902.96 juta dengan kontrak ini dijangka bermula pada 31 Mac 2025 dan akan terus berkuat kuasa selama tempoh 100 bulan dari tarikh permulaan projek tersebut.
 

"Kontrak berkenaan dijangka menyumbang 25 peratus atau lebih daripada keuntungan bersih dan mengalihkan 25 peratus atau lebih daripada aset bersih syarikat ini untuk bergerak ke hadapan," katanya. - DagangNews.com