KUALA LUMPUR 18 Sept – HCK Capital Group Berhad mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Trilink Essential Sdn. Bhd. (TESB), memeterai Perjanjian Usahasama (JVA) dengan Bongsor Development Sdn. Bhd. (BD) bagi melaksanakan pembangunan hartanah di atas sebidang tanah milik BD di Cheras.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, HCK Capital berkata JVA yang ditandatangani pada pada 17 September 2025 itu memberikan TESB hak eksklusif dan sepenuhnya untuk membangunkan tanah tersebut mengikut kesesuaian dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
Antara hak yang diberikan kepada TESB di bawah perjanjian ini termasuklah:
* Merancang dan mereka bentuk pembangunan;
* Mendapatkan semua kelulusan berkaitan daripada pihak berkuasa;
* Melantik perunding dan kontraktor;
* Memasarkan serta menjual unit-unit yang akan dibangunkan; dan
* Mengutip serta menggunakan hasil jualan unit-unit tersebut selaras dengan terma perjanjian.
TESB menganggarkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bagi projek ini sebanyak RM600 juta, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
Pembinaan projek dijadualkan bermula tidak lewat daripada dua tahun selepas tarikh JVA menjadi muktamad, atau dalam tempoh lanjutan yang dipersetujui bersama secara bertulis antara kedua-dua pihak.
TESB juga dijangka menyiapkan pembangunan tersebut dalam tempoh lima tahun dari tarikh permulaan pembinaan, dengan kemungkinan lanjutan satu tahun tambahan atau tempoh yang dipersetujui bersama secara bertulis.
HCK Capital menjelaskan cadangan usahasama ini tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham diterbitkan atau pegangan saham pemegang saham utama syarikat, memandangkan perjanjian ini tidak melibatkan sebarang terbitan saham baharu dalam HCK Capital Group Berhad.
Dari segi kedudukan kewangan, perjanjian ini dijangka tidak memberikan sebarang kesan ketara terhadap aset bersih dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Bagaimanapun, HCK Capital menjangkakan perjanjian ini berpotensi meningkatkan nilai aset bersih kumpulan pada masa hadapan, hasil daripada sumbangan keuntungan yang bakal dijana menerusi pembangunan projek tersebut.
Kesan terhadap nisbah keberhutangan (gearing) kumpulan pula akan bergantung kepada struktur pembiayaan muktamad yang akan digunakan bagi membiayai pembangunan, yang masih belum ditentukan buat masa ini.
HCK Capital turut memaklumkan perjanjian usahasama ini tidak dijangka memberi sebarang impak ketara terhadap pendapatan atau pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan semasa yang berakhir pada 31 Disember 2025. - DagangNews.com








