KUALA LUMPUR 19 Mei - Fiamma Holdings Berhad (Fiamma) mencatat peningkatan hasil sebanyak 5.9% tahun ke tahun kepada RM104.36 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY26), disokong pertumbuhan kukuh segmen perdagangan dan perkhidmatan.
Kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM98.51 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Dalam kenyataan hari ini Fiamma berkata, segmen perdagangan dan perkhidmatan berkembang 11.6% kepada RM87 juta dan menyumbang 83.4% daripada jumlah hasil kumpulan.
Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai (PBT) susut kepada RM13.41 juta berbanding RM41.19 juta pada 1QFY25 disebabkan ketiadaan keuntungan sekali sahaja yang direkodkan tahun lalu.
Menurut Fiamma, prestasi suku sama tahun lalu dipacu keuntungan sekali sahaja berjumlah RM23.22 juta susulan pencairan ekuiti dalam Aricia Sdn. Bhd. dan Dawn Land Sdn. Bhd.
Tanpa mengambil kira item tidak berulang tersebut, prestasi semasa mencerminkan asas pendapatan yang lebih normal dan mampan.
PBT segmen perdagangan dan perkhidmatan kekal stabil pada RM10.47 juta walaupun kumpulan berdepan tekanan margin akibat turun naik mata wang, kos logistik dan perubahan harga pembekal.
Segmen pembangunan hartanah pula menyumbang hasil sebanyak RM16.02 juta, disokong projek East Parc, Vida Heights dan Amberwood di Johor Bahru.
Fiamma turut mengumumkan cadangan usaha sama melibatkan SUSB yang menandakan entiti hartanah ketiga kumpulan beralih daripada anak syarikat milik penuh kepada struktur syarikat bersekutu dengan pegangan 30%.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian strategi kumpulan untuk beralih kepada model pembangunan hartanah berasaskan modal ringan (capital-light).
Aset dan Inventori
Setakat 31 Mac 2026, kumpulan mempunyai tunai dan setara tunai sebanyak RM139.55 juta berbanding jumlah pinjaman RM90.66 juta, sekali gus mencatat kedudukan tunai bersih RM48.9 juta. Aset bersih sesaham turut meningkat kepada RM1.49.
Inventori meningkat RM34.2 juta kepada RM322.8 juta disebabkan kos pembangunan projek Divine KLCC yang dikapitalisasikan sepanjang suku tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FIAMMA, Jimmy Tan Chee Wee berkata, prestasi suku pertama membuktikan kekuatan asas operasi teras pengedaran syarikat.
“Walaupun PBT yang dilaporkan menurun, ia hanya disebabkan perbandingan dengan keuntungan korporat sekali sahaja tahun lalu.
“Secara operasi, perniagaan teras kami terus berkembang dengan pertumbuhan hasil dua digit dalam segmen perdagangan dan perkhidmatan serta pengembangan capaian pasaran,” katanya.
Beliau berkata, kumpulan juga terus melaksanakan strategi peruntukan modal secara berdisiplin menerusi model pembangunan hartanah berasaskan modal ringan bagi membuka nilai bank tanah serta mengurangkan risiko pembangunan projek baharu.
Bagi tempoh akan datang, Fiamma menjangkakan permintaan pengguna kekal berhati-hati tetapi stabil dengan kecenderungan terhadap produk kategori pertengahan, cekap tenaga dan bernilai untuk wang.
Kumpulan turut melihat potensi pertumbuhan lebih kukuh dalam segmen penjagaan kesihatan dan peranti perubatan susulan peningkatan perbelanjaan kesihatan awam. - DagangNews.com








