KUALA LUMPUR 5 Feb – Harvest Miracle Capital Berhad melupuskan 100% kepentingannya dalam salah sebuah anak syarikat milik penuhnya, Teras Gemumi Sdn Bhd kepada Ree Fong Agriculture Sdn Bhd.
Kumpulan berkenaan menjual pada pertimbangan tunai berjumlah RM51.6 juta menerusi pemeteraian perjanjian penjualan saham bagi pelupusan keseluruhan 2,221,140 saham biasa dalam subsidiari itu.
Katanya, Teras Gemumi merupakan syarikat pegangan pelaburan yang memiliki Gemumi Multi Plantation Sdn Bhd (GMPSB), sebuah anak syarikat yang terlibat dalam pengoperasian ladang kelapa sawit.
"Kami dijangka dapat meraih anggaran keuntungan kasar sebanyak RM15.98 juta hasil daripada transaksi penjualan tersebut," menurut Harvest Miracle dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.
Tambahnya lagi, unjuran margin tersebut berdasarkan kepada kos asal pelaburan kumpulan berkenaan dalam Teras Gemumi pada Mac 2022 adalah sebanyak RM21.03 juta.
Langkah ini merupakan inisiatif strategik mengoptimumkan portfolio perniagaan dan meningkatkan nilai pemegang saham jangka panjang melalui modal diperoleh dalam tempoh pegangan yang singkat.
Hasil pelupusan itu kata Harvest Miracle, akan digunakan bagi modal kerja operasi harian, mengukuh bahagian pinjaman wang kumpulan, serta membiayai peluang pelaburan berpotensi pada masa hadapan.
"Pelupusan ini juga sejajar dengan fokus kumpulan bagi mengagihkan semula sumber ke arah segmen perniagaan yang memiliki prospek pertumbuhan lebih kukuh dan pulangan yang cukup tinggi," katanya.
Dari sudut kesan kewangan pula, aset bersih (NA) sesaham kumpulan berkenaan dijangka berupaya untuk meningkat sedikit daripada 25 sen kepada 26 sen selepas selesai proses pelupusan tersebut.
Sementara itu, pendapatan sesaham (EPS) pro forma pula jelas Harvest Miracle, diunjur dapat bertambah positif lagi kepada sebanyak 2.03 sen berbanding hanya kira-kira 0.66 sen sebelum ini.
Sekiranya tiada sebarang halangan berlaku sepanjang urus niaga penjualan berkenaan kepada Ree Fong Agriculture, cadangan pelupusan ini dijangka selesai menjelang suku pertama tahun kalendar 2026.
"Lembaga Pengarah kumpulan ini berpendapat bahawa terma dan syarat perjanjian tersebut adalah adil, munasabah, dan demi kepentingan terbaik syarikat," katanya. - DagangNews.com








