Hartalega dijangka terus hadapi cabaran pasaran, pemulihan bermula pada 1H26 – MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hartalega dijangka terus hadapi cabaran pasaran, pemulihan bermula pada 1H26 – MBSB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Nov – Hartalega Holdings Bhd dijangka terus berdepan cabaran dalam tempoh terdekat berikutan ketidaktentuan dasar tarif Amerika Syarikat (AS), persaingan sengit daripada pengeksport China dan lebihan kapasiti global yang masih berlarutan, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu menjelaskan, keadaan tersebut kekal menjadi risiko utama terhadap prestasi kumpulan bagi separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY26).

 

Jangkaan itu berikutan langkah pengeluar China mengembangkan penghantaran ke pasaran lain dan menubuhkan operasi di Asia Tenggara bagi mengelak tarif AS sekali gus meningkatkan kos operasi serta tekanan harga terhadap pengeluar tempatan.

 

“Bagaimanapun, prospek jangka panjang Hartalega dilihat lebih positif, disokong oleh permintaan global yang berterusan dan telah melepasi paras sebelum pandemik.

 

“Aktiviti penambahan semula stok lama dijangka meningkat secara beransur-ansur berikutan penyusutan simpanan era pandemik dengan pemulihan dijangka lebih ketara menjelang separuh pertama 2026,”  kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2026 (6MFY26), keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) Hartalega susut 67% kepada RM27.2 juta berbanding tahun sebelumnya, manakala hasil menurun 12% kepada RM1.1 bilion.

 

Kejatuhan itu disebabkan oleh penurunan jumlah jualan sebanyak 13% berikutan tekanan harga kompetitif di pasaran bukan AS dan purata harga jualan (ASP) lebih rendah sebanyak 5% susulan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS.

 

Meskipun begitu, MBSB Research berkata, prestasi kumpulan disokong oleh langkah pengoptimuman kos, peningkatan kadar penggunaan kilang sebanyak 1% suku ke suku serta usaha automasi berterusan untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Hartalega catat lonjakan untung bersih suku kedua kepada RM18.3 juta

 

MBSB Research turut mengekalkan saranan Neutral terhadap saham Hartalega dengan harga sasaran disemak turun kepada RM1.19 daripada RM1.24 sebelum ini, berikutan keuntungan teras 6MFY26 yang berada di bawah jangkaan, di samping pemulihan sektor sarung tangan yang perlahan.

 

Firma itu juga menyemak semula unjuran keuntungan kumpulan bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 sebanyak 12% hingga 14% lebih rendah, dengan mengunjurkan keuntungan teras bagi FY26 sebanyak RM64 juta.

 

“Dalam masa sama, Hartalega dijangka meneruskan langkah mengoptimumkan kos dan pelarasan tenaga kerja bagi menyesuaikan kapasiti dengan permintaan semasa. 

 

“Walaupun kapasiti pengeluaran maksimum boleh mencapai 12 bilion unit setahun, hanya lima barisan pengeluaran kini beroperasi, manakala selebihnya dijangka disambung semula menjelang separuh pertama 2026 tertakluk kepada permintaan pasaran.

 

“Dari segi jualan, pasaran AS kekal menjadi penyumbang utama dengan pertumbuhan volum marginal sebanyak 2% kepada enam bilion unit, sejajar dengan peningkatan kadar penggunaan kepada 68% dalam suku kedua tahun kewangan 2026,” kata firma tersebut.

 

Namun, harga jualan kekal rendah sekitar AS$17 hingga AS$18 bagi setiap 1,000 unit untuk pasaran AS dan AS$14 hingga AS$15 bagi pasaran bukan AS, hampir menyamai harga semasa pengeluar China.

 

MBSB Research menambah, aktiviti ‘frontloading’ jualan ke AS yang meningkat 60% hingga 70% sejak September dijangka berakhir, dengan pelanggan domestik dan antarabangsa kembali kepada kadar pembelian biasa tanpa aktiviti restok besar-besaran dalam masa terdekat. 

 

“Walau bagaimanapun, kekurangan kapal penghantaran eksport yang dijangka berlarutan sehingga separuh pertama 2026 mungkin memberi kesan terhadap keuntungan bersih Kumpulan,” katanya. - DagangNews.com