Harga urea dan metanol melonjak, PETRONAS Chemicals dijangka raih manfaat - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga urea dan metanol melonjak, PETRONAS Chemicals dijangka raih manfaat - CGSI

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 Mac - Harga produk petrokimia utama menunjukkan peningkatan ketara susulan ketegangan geopolitik di Timur Tengah, sekali gus memberi prospek lebih positif kepada PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCG), menurut CGS International

 

Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan pemerhatian saluran pasaran, PCG berjaya menjual kargo urea pada harga sekitar AS$650 satu tan, meningkat daripada AS$490 hingga AS$510 satu tan pada 27 Februari 2026, iaitu sehari sebelum konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran tercetus.

 

Pada masa sama, harga metanol yang dijual oleh PCG juga meningkat kepada sekitar AS$400 satu tan berbanding AS$320 satu tan sebelum konflik.

 

"Peningkatan harga sehingga AS$160 satu tan bagi urea dan AS$80 satu tan bagi metanol itu telah melepasi jangkaan model kami yang sebelum ini mengandaikan kenaikan masing-masing sekitar AS$50 satu tan bagi urea dan AS$75 satu tan bagi metanol dalam tempoh enam bulan dari 1 April hingga 30 September 2026.

 

"Susulan perkembangan itu, kami mengekalkan saranan TAMBAH ke atas PCG dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM4.45 sesaham, bersamaan nisbah harga kepada nilai buku (P/BV) sebanyak 1 kali, iaitu kira-kira satu sisihan piawai di bawah purata sejak 2019," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Menurut CGSI, selain segmen Baja dan Metanol (F&M), harga jualan bagi produk dalam segmen Olefin dan Derivatif (O&D) turut meningkat.

 

Harga polietilena (PE) dilaporkan naik sehingga AS$200 satu tan, hampir kepada andaian kenaikan AS$250 satu tan dalam tempoh enam bulan bermula April hingga September 2026.

 

Gangguan bekalan bahan mentah dorong harga petrokimia

CGSI menjangkakan harga jualan bagi kedua-dua segmen F&M dan O&D berpotensi melepasi unjuran semasa pihaknya.

 

Ini berikutan gangguan bekalan bahan mentah utama seperti nafta, gas petroleum cecair (LPG) dan gas metana dari Timur Tengah selain pengurangan kadar operasi dan penutupan sementara loji petrokimia berasaskan nafta dan LPG.

 

Perkembangan itu berpotensi menyebabkan kekurangan bekalan produk petrokimia di pasaran global untuk tempoh beberapa bulan.

 

Laporan media antarabangsa turut menyatakan bahawa operasi ketenteraan Amerika Syarikat terhadap Iran dijangka berlarutan sekurang-kurangnya 100 hari dan mungkin berterusan sehingga September 2026.

 

Sekiranya konflik tersebut berpanjangan, impaknya terhadap harga petrokimia dijangka menjadi lebih ketara.

 

Firma perunding, Chemical Market Analytics (CMA) turut menjangkakan harga jualan produk petrokimia boleh meningkat secara mendadak sekiranya konflik berlarutan sehingga menjejaskan pasaran hidrokarbon serta menyebabkan penutupan berpanjangan Selat Hormuz, laluan utama perdagangan tenaga global.

 

Kebimbangan kerugian PPC masih terkawal

Dalam pada itu, CGSI berkata, kebimbangan pelabur tertumpu kepada potensi kerugian lebih besar di Pengerang Petrochemical Company (PPC) yang bergantung kepada bahan mentah berasaskan nafta.

 

Bagaimanapun, pemerhatian pasaran menunjukkan keluaran daripada loji pengkrak nafta boleh dieksport secara langsung tanpa perlu disalurkan kepada PPC untuk pemprosesan hiliran.

 

CGSI juga percaya PPC berkemungkinan mengurangkan kadar operasinya bagi meminimumkan kerugian dan tahap kerugian dijangka kekal lebih rendah berbanding tahun kewangan 2025.

 

Potensi pemangkin penarafan semula

Dalam jangka masa terdekat, pemangkin kepada penarafan semula saham PCG termasuk kemungkinan penutupan lebih lama Selat Hormuz yang boleh menyebabkan kekurangan bekalan bahan mentah kepada pengeluar petrokimia berasaskan nafta.

 

Keadaan itu dijangka memberi kelebihan kepada pengeluar kos rendah seperti PCG dan berpotensi melonjakkan harga jualan produk secara mendadak.

 

Namun begitu, risiko penurunan kekal wujud sekiranya konflik geopolitik tersebut berakhir lebih awal daripada jangkaan dan Selat Hormuz dibuka semula kepada laluan perdagangan global, sekali gus meningkatkan bekalan petrokimia di pasaran. - DagangNews.com