Harga sawit dinaikkan kepada RM3,800–RM4,200 satu tan disokong permintaan kukuh - Moody's | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga sawit dinaikkan kepada RM3,800–RM4,200 satu tan disokong permintaan kukuh - Moody's

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Moody’s Ratings menaikkan julat kepekaan harga sederhana bagi minyak sawit mentah (MSM) kepada RM3,800–RM4,200 satu tan berbanding RM3,400–RM3,800 sebelum ini, berikutan permintaan lebih kukuh di Indonesia yang dipacu mandat biodiesel serta pertumbuhan pengeluaran sederhana di Asia.

 

Agensi penarafan itu berkata harga dijangka kekal disokong dalam tempoh 12 bulan akan datang.

 

Berdasarkan andaian terkini, pendapatan pengeluar tersenarai seperti Sime Darby Plantation Bhd dan IOI Corporation Bhd dijangka kekal kukuh dalam tempoh 12 hingga 18 bulan, katanya.

 

“Kami menjangkakan permintaan global meningkat menjelang akhir 2025 apabila pembeli membuat penyimpanan semula stok menjelang tarikh akhir Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR) pada 30 Disember 2025,” kata Moody’s dalam satu kenyataan.

 

Moody’s memaklumkan Sime Darby Plantation telah membuat penghantaran pertama yang mematuhi sepenuhnya EUDR ke Eropah pada September 2024, jauh lebih awal daripada tarikh pelaksanaan peraturan tersebut.

 

IOI turut mengambil langkah bagi memastikan pematuhan, termasuk melancarkan platform data room bulan lalu untuk menyokong usaha usaha wajar (due diligence) pihak berkepentingan.

 

Menurut Moody’s, harga MSM telah susut kepada RM3,780 satu tan pada Mei 2025 berbanding sekitar RM5,000 pada akhir 2024, didorong pengeluaran lebih tinggi, permintaan yang lebih perlahan serta ketidaktentuan berkaitan dasar perdagangan Amerika Syarikat.

 

Bagaimanapun, harga telah kembali meningkat melebihi RM4,400 setakat 22 Ogos 2025.

 

Pengeluaran di Indonesia dan Malaysia, yang bersama-sama menyumbang lebih 80% daripada pengeluaran global, dijangka meningkat secara sederhana pada 2025–2026.

 

Di Malaysia, ketersediaan tenaga kerja yang lebih baik akan membantu pengeluaran, meskipun berdepan profil pokok yang semakin tua dan kadar penanaman semula yang lebih perlahan daripada jangkaan.

 

“Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), agensi kerajaan yang bertanggungjawab memajukan dan membangunkan sektor ini, menjangkakan pengeluaran akan meningkat kepada 19.5 juta tan pada 2025 berbanding 19.3 juta tan pada 2024,” menurut Moody’s. - DagangNews.com