Harga saham Wasco Greenergy susut kepada 95 sen dalam dagangan pertama di Pasaran Utama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga saham Wasco Greenergy susut kepada 95 sen dalam dagangan pertama di Pasaran Utama

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 11 Dis – Wasco Greenergy Bhd memulakan hari pertama dagangan di Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan prestasi lemah apabila harga sahamnya dibuka lebih rendah daripada harga tawaran awam permulaan (IPO).

 

Saham pembekal mesin tenaga boleh baharu itu dibuka pada 95 sen, iaitu diskaun 5% daripada harga IPO RM1 sesaham, sebelum terus bergerak lemah.

 

Sehingga tengah hari, ia didagangkan pada 97 sen, masih susut 3%, dengan 7.68 juta saham bertukar tangan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Wasco Greenergy, Lee Yee Chong berkata syarikat akan meneruskan strategi pertumbuhan jangka panjang.

 

“Syarikat akan terus meningkatkan penyelesaian stim kejuruteraan, memperkukuh kehadiran serantau dan menyokong industri dalam meningkatkan kecekapan operasi serta pengurangan pelepasan,” katanya. 

 

Wasco Greenergy terlibat dalam  kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sistem tenaga berasaskan stim termasuk dandang berasaskan biojisim, dandang gas, heat-recovery steam generator, sistem turbin stim Shinko dan peralatan untuk sektor kilang sawit.

 

Minat pelabur terhadap IPO syarikat itu sangat kukuh dengan bahagian runcit terlebih langgan 12.11 kali. 

 

Peruntukan kepada individu layak serta pemegang saham sedia ada Wasco Group habis diambil, manakala saham bagi pelabur bumiputera di bawah bahagian institusi turut penuh dilanggan.

 

IPO berjumlah 150 juta saham terdiri daripada 75 juta saham baharu dan 75 juta saham ditawarkan pada harga RM1 sesaham, berjaya mengumpul RM150 juta, dengan RM75 juta masuk terus ke Wasco Greenergy.

 

Separuh daripada hasil itu diperuntukkan untuk rancangan peluasan perniagaan dan menyokong peralihan syarikat memiliki serta mengendalikan loji tenaga stim biojisim.

 

Baki dana akan digunakan untuk pembelian peralatan baharu, perluasan operasi di Indonesia, pendigitalan sistem, penyelidikan dan pembangunan serta menampung kos penyenaraian.

 

Baki RM75 juta lagi akan diterima oleh pemegang saham penjual iaitu Wasco dan Tema Energy Ventures Sdn Bhd. 

 

Selepas penyenaraian, Wasco dijangka mengekalkan pegangan 62.54%, manakala Tema memiliki 7.46% dalam syarikat itu. - DagangNews.com