KUALA LUMPUR 2 Dis – Harga saham Capital A Berhad melonjak hampir 90% pada hari pertama dagangan selepas pelarasan teknikal berikutan pengagihan saham AirAsia X (AAX), mencerminkan keyakinan kukuh pelabur terhadap hala tuju baharu syarikat itu.
Saham Capital A dibuka pada harga pelarasan RM0.245 sebelum meningkat kepada RM0.465, berlaku selepas syarikat itu melaksanakan penyesuaian harga berkaitan dividen dalam bentuk saham (dividend in specie).
Capital A dalam satu kenyataan berkata, pelarasan itu merupakan sebahagian daripada langkah korporat terancang di bawah strategi pelupusan perniagaan penerbangannya.
“Capital A kini sedang menumpukan sumber dan modal kepada perniagaan digital serta logistik berasaskan model asset-light, yang disifatkan sebagai pemacu pertumbuhan utama syarikat pada masa depan.
“Reaksi pasaran yang pantas dan positif dilihat mengukuhkan keyakinan bahawa nilai sebenar Capital A terletak pada portfolio bukan penerbangan yang selama ini kurang mendapat perhatian,” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes berkata, prestasi saham pada hari dagangan pertama selepas pelarasan itu memberi isyarat jelas bahawa pelabur sedang mengiktiraf potensi besar kumpulan berkenaan.
Beliau berkata, kenaikan drastik itu bukan sekadar pergerakan teknikal, sebaliknya pengiktirafan terhadap kekuatan asas serta prospek pertumbuhan tinggi perniagaan digital dan logistik Capital A.
“Momentum pasaran tersebut mengukuhkan kedudukan syarikat menjelang inisiatif pengumpulan modal serta memberi keyakinan dalam perancangan penyenaraian potensi di Hong Kong.
“Ini menunjukkan minat pasaran terhadap kisah pertumbuhan Capital A dan kami lebih yakin berbanding sebelumnya bahawa kami berada di landasan tepat untuk membuka nilai jangka panjang yang besar bagi para pemegang saham,” katanya.
Capital A kini memberi tumpuan kepada lima perniagaan utama yang menunjukkan prestasi kewangan kukuh, iaitu Asia Digital Engineering (ADE), Teleport, AirAsia MOVE, Santan dan AirAsia Next.
ADE, yang mengendalikan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), sedang mengumpul modal bagi membina hangar dan bengkel baharu.
Teleport pula merupakan syarikat kargo udara ke-9 terbesar di Asia dan sedang berusaha memperluas rangkaiannya melalui usaha pengumpulan modal tambahan.
AirAsia MOVE, platform agen pelancongan dalam talian berorientasikan penerbangan, telah memperoleh pembiayaan hutang untuk menyokong pengembangan perniagaan.
Santan, yang berkembang daripada penyedia makanan dalam pesawat, kini berubah menjadi pengedar makanan B2B dan memperluas operasi di luar sektor penerbangan.
AirAsia Next, yang memfokus kepada penjenamaan dan program kesetiaan berasaskan AI, sedang meneroka peluang penyenaraian bagi membuka nilai jenama AirAsia yang kukuh di rantau ini.
Capital A berkata, kelima-lima perniagaan ini mencatatkan keuntungan selama empat suku berturut-turut, menunjukkan keupayaan mereka sebagai enjin pertumbuhan baharu syarikat.
Syarikat itu turut menjelaskan bahawa penyusunan semula strategik ini dijangka memberi impak positif kepada kedudukan kewangan Capital A, termasuk berpotensi menjadikan ekuitinya kembali positif. - DagangNews.com








