Harga minyak sawit mentah Malaysia dijangka kukuh antara RM4,100 hingga RM4,300 satu tan - MPOC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak sawit mentah Malaysia dijangka kukuh antara RM4,100 hingga RM4,300 satu tan - MPOC

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Julai – Harga minyak sawit mentah (MSM) Malaysia dijangka kukuh antara RM4,100 hingga RM4,300 untuk bulan depan disokong oleh permintaan musim perayaan dari India serta kenaikan harga minyak kacang soya di Amerika Syarikat.

 

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, bagi separuh pertama tahun ini, Kenya muncul sebagai pembeli kedua terbesar minyak sawit Malaysia, mengatasi EU27 dan China.

 

“Negara Afrika Timur itu mewakili 30 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke Sub-Sahara Afrika, dengan unjuran import tahunan mencecah 1.3 juta tan.

 

“ Lebih 90 peratus daripada import Kenya digunakan secara domestik bagi tujuan makanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Stok minyak sawit negara meningkat kepada paras tertinggi dalam 18 bulan, mencecah 2.03 juta tan pada Jun, susulan kejatuhan eksport sebanyak 10.5 peratus bulan sebelumnya iaitu 1.26 juta tan.

 

Namun begitu, eksport pada Jun 2025 kekal lebih tinggi berbanding tempoh sama pada 2022, 2023 dan 2024.

 

MPOC berkata, harga minyak sayuran global menunjukkan pemulihan ketara, dipacu oleh lonjakan harga minyak kacang soya sebanyak 19 peratus sejak Januari.

 

“Peningkatan ini jauh mengatasi minyak kanola (+6.6%), minyak sawit (+3.7%) dan minyak bunga matahari (+1.7%). Minyak kacang soya kekal sebagai minyak sayuran berprestasi terbaik tahun ini, disokong dasar biofuel AS yang diumumkan pada Jun lalu, yang merangsang permintaan terhadap bahan mentah domestic,” katanya.

 

Kesan limpahan dari lonjakan harga minyak kacang soya telah memperbaiki daya saing harga minyak sawit Malaysia, terutamanya di pasaran India.

 

Eksport Malaysia ke India melonjak sejak April, dengan import bulanan kekal melebihi 250,000 tan bagi Mei dan Jun.

 

MPOC berkata, momentum ini dijangka berterusan hingga suku ketiga, didorong aktiviti penyimpanan stok menjelang sambutan Deepavali pada Oktober dan harga yang lebih menarik.

 

“Di AS, harga minyak kacang soya dijangka kekal tinggi sehingga 2026. Unjuran Jabatan Pertanian AS (USDA) menunjukkan penggunaan minyak kacang soya untuk biodiesel akan meningkat 17 peratus, daripada 6 juta MT pada 2024 kepada 7 juta MT pada 2026.

 

“Buat pertama kali, lebih 50 peratus pengeluaran minyak kacang soya AS dijangka digunakan untuk biodiesel,” katanya.

 

Di bawah kerangka insentif cukai baharu, hanya bahan mentah dari Amerika Utara (AS, Kanada dan Mexico) layak menerima rebat, dengan bahan mentah keluaran AS menerima insentif tertinggi.

 

"Langkah ini dijangka mengekalkan harga minyak kacang soya AS dan minyak kanola Kanada pada paras premium berbanding minyak sayuran lain di pasaran global," katanya.

 

Bagaimanapun, peningkatan permintaan di AS sahaja tidak mencukupi untuk mengimbangi lonjakan bekalan kacang soya global.

 

Pengeluaran kacang soya Amerika Selatan dijangka meningkat sebanyak 8 juta MT pada 2026 kepada 245 juta MT.

 

Lebihan bekalan ini dijangka memberi tekanan ke atas harga, dengan inventori kacang soya AS dijangka berlipat ganda menjelang 2026 susulan lebihan stok dan kejatuhan eksport ke China.

 

Secara keseluruhan, harga MSM dijangka kekal stabil dalam jangka terdekat, didorong oleh permintaan kukuh dari India dan harga tinggi minyak kacang soya di AS.

 

Namun, potensi kenaikan harga minyak sayuran mungkin terhad oleh bekalan kacang soya global yang melimpah, memandangkan tiada kekurangan ketara dalam pasaran minyak biji global pada masa ini. - DagangNews.com