Harga minyak sawit mentah kekal sekitar RM4,400 di sebalik risiko cuaca dan dasar biofuel global - MPOC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak sawit mentah kekal sekitar RM4,400 di sebalik risiko cuaca dan dasar biofuel global - MPOC

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Mei - Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal sekitar RM4,400 satu tan pada Jun 2026 di tengah-tengah kebimbangan terhadap risiko cuaca dan ketidaktentuan bekalan minyak sayuran global.

 

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dalam kenyataan berkata, perkembangan dasar biofuel global, khususnya di Amerika Syarikat (AS), terus menjadi faktor utama yang menyokong sentimen pasaran minyak sawit ketika ini.

 

Stok minyak sawit Malaysia meningkat sedikit kepada 2.31 juta tan pada April, disokong peningkatan bermusim pengeluaran antara Mac hingga Oktober susulan keadaan cuaca lebih kering yang membantu produktiviti penuaian serta kadar perahan minyak lebih tinggi.

 

Bagi tempoh Januari hingga April 2026, eksport kumulatif minyak sawit negara melonjak 25.5% atau 1.1 juta tan kepada 5.38 juta tan, sekali gus menjadi paras tertinggi sejak 2019.

 

Bagaimanapun, eksport pada April susut 14.3% berbanding bulan sebelumnya kepada 1.30 juta tan.

 

Walaupun berlaku penurunan bulanan, jumlah eksport itu masih kukuh apabila mewakili kira-kira 80% daripada pengeluaran minyak sawit Malaysia sepanjang tempoh tersebut.

 

Dalam perkembangan berkaitan, harga minyak kacang soya di pasaran Eropah meningkat ke paras tertinggi sejak November 2022 pada pertengahan Mei, menjadikannya minyak sayuran utama paling mahal di pasaran global.

 

Minyak kacang soya diniagakan pada premium USD145 setan berbanding minyak rapeseed, USD110 setan berbanding minyak sawit dan USD45 setan berbanding minyak bunga matahari.

 

Situasi itu secara tidak langsung meningkatkan daya saing minyak sawit Malaysia di pasaran antarabangsa, khususnya di India yang kekal menjadi antara pasaran utama minyak sawit dunia.

 

Selain itu, harga olein sawit Malaysia kini diniagakan pada diskaun kecil berbanding minyak kacang soya Argentina, sekali gus dijangka terus menyokong permintaan terhadap minyak sawit.

 

Pada suku pertama 2026, gabungan eksport minyak sawit Malaysia, Indonesia dan Thailand meningkat sebanyak 1.9 juta tan.

 

Namun, firma penyelidikan komoditi, Oil World mengunjurkan trend tersebut akan berubah antara April hingga September dengan eksport gabungan tiga negara berkenaan dijangka susut 2 juta tan pada suku kedua dan ketiga tahun ini.

 

Penurunan itu didorong terutamanya oleh pengurangan eksport Indonesia apabila lebih banyak minyak sawit negara itu dialihkan kepada penggunaan tenaga domestik.

 

Dalam tempoh sama, eksport Malaysia dijangka meningkat 400,000 tan manakala eksport Indonesia diunjurkan merosot sebanyak 1.7 juta tan.

 

Keadaan itu menyebabkan peningkatan mendadak stok minyak sawit sepanjang musim puncak pengeluaran di Asia Tenggara dijangka tidak berlaku.

 

Sementara itu, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) mengunjurkan pengeluaran global tanaman minyak utama bagi musim 2026/27 mencatat rekod baharu.

 

Pengeluaran kacang soya global diramal meningkat 14 juta tan, biji bunga matahari sebanyak 7 juta tan dan rapeseed sebanyak 1.4 juta tan.

 

Secara keseluruhan, pengeluaran tiga tanaman minyak utama dunia itu dijangka meningkat 4% atau 22.4 juta tan kepada rekod 600 juta tan.

 

Dalam masa sama, risiko gangguan bekalan masih membelenggu pasaran susulan ketegangan geopolitik global serta peningkatan risiko fenomena El Nino.

 

Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan keadaan El Nino akan mula terbentuk antara Jun hingga Julai tahun ini dan berpotensi berterusan sehingga awal 2027.

 

Fenomena itu lazimnya membawa cuaca lebih kering di Asia Tenggara sekali gus boleh menjejaskan hasil pertanian dan bekalan minyak sayuran serantau. - DagangNews.com