Harga minyak global tinggi pacu peningkatan capex PETRONAS, sokong pemulihan aktiviti huluan menjelang 2027 - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak global tinggi pacu peningkatan capex PETRONAS, sokong pemulihan aktiviti huluan menjelang 2027 - HLIB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Mei - Harga minyak mentah global yang kekal tinggi dijangka mendorong peningkatan perbelanjaan modal (capex) oleh Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), sekali gus menyokong pemulihan aktiviti huluan sektor minyak dan gas menjelang 2027, menurut Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, capex PETRONAS secara sejarah mempunyai korelasi sebanyak 51% dengan harga minyak global, meskipun terdapat kelewatan kira-kira setahun berikutan tempoh pelaksanaan projek serta pendekatan peruntukan modal yang lebih berdisiplin.

 

Menurut HLIB lagi, ketika kitaran harga minyak mentah tinggi antara 2012 hingga 2014, PETRONAS mencatat capex sekitar RM57 bilion hingga RM65 bilion.

 

“Pemulihan harga minyak pada 2022 pula menyaksikan perbelanjaan modal kembali meningkat kepada RM53 bilion hingga RM54 bilion pada 2023 dan 2024 apabila aktiviti sektor tenaga kembali normal selepas pandemik,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

HLIB berkata, sekiranya trend sejarah itu berterusan, harga minyak mentah global yang dijangka kekal sekitar AS$90 setong pada 2026 akan terus menyokong momentum perbelanjaan PETRONAS.

 

Firma itu turut menegaskan PETRONAS secara konsisten mengekalkan capex dalam lingkungan panduan yang ditetapkan selain mempunyai kedudukan tunai bersih positif selama lebih sedekad yang memberi fleksibiliti untuk pembayaran dividen.

 

Sehubungan itu, HLIB Research mengekalkan saranan “overweight” terhadap sektor minyak dan gas, disokong prospek pendapatan huluan yang lebih kukuh, peningkatan aliran tempahan sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) serta permintaan jangka panjang terhadap penyimpanan, saluran paip dan infrastruktur tenaga.

 

Selat Melaka dan Pengerang

Dalam masa sama, firma penyelidikan itu berkata, ketegangan geopolitik global turut meningkatkan kepentingan strategik laluan perdagangan tenaga utama dunia.

 

Menurutnya, konflik Iran telah menyerlahkan lagi kepentingan Selat Melaka yang mengendalikan kira-kira 22% perdagangan maritim global.

 

“Berdasarkan anggaran kami, Jepun dan Korea Selatan adalah negara paling terdedah dengan masing-masing 65% dan 63% import minyak mentah mereka melalui Selat Hormuz, diikuti China dan India masing-masing sebanyak 43% dan 39%,” katanya.

 

Jumlah transit kapal di Selat Melaka meningkat daripada 63,636 pada 2004 kepada rekod 102,525 pada 2025, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai koridor perdagangan utama yang menghubungkan bekalan Timur Tengah ke Asia Timur.

 

HLIB Research turut melihat Pengerang sebagai hab logistik dan penyimpanan tenaga serantau yang semakin penting susulan perubahan laluan perdagangan global.

 

“Semakan saluran kami mendapati tahap aktiviti di terminal-terminal Pengerang meningkat kebelakangan ini, disokong kepelbagaian kapal dan perubahan laluan perdagangan susulan gangguan geopolitik yang berterusan,” katanya.

 

Tambahnya, New Zealand juga dilaporkan sedang menilai pilihan penyimpanan bahan api di Malaysia dan Singapura bagi mempelbagaikan laluan bekalan tenaga negara itu.

 

Dialog dan Wasco

Dalam perkembangan berkaitan, HLIB Research berpandangan Dialog Group Berhad dan Wasco Berhad antara syarikat yang berpotensi mendapat manfaat daripada peningkatan aktiviti di Pengerang.

 

Dialog dijangka dapat memperluaskan kapasiti penyimpanannya menerusi kedudukan kukuh dalam segmen pertengahan (midstream), pendedahan kepada terminal tangki dan pemilikan tanah seluas 660 ekar di Pengerang.

 

Sementara itu, Wasco dijangka meraih manfaat daripada peningkatan permintaan terhadap kerja salutan saluran paip dan kejuruteraan yang disokong pembangunan infrastruktur saluran paip baharu, pengukuhan laluan bekalan minyak mentah serta projek berkaitan kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO).

 

HLIB turut menyatakan kehadiran strategik Wasco di Qatar dijangka meningkatkan peluang syarikat itu menyertai tender projek infrastruktur pemulihan di rantau Timur Tengah. - DagangNews.com