Harga emas melambung: Poh Kong untung naik 5% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga emas melambung: Poh Kong untung naik 5%

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Mac — Poh Kong Holdings Berhad mencatatkan untung bersih suku kedua yang meningkat sebanyak 4.78 peratus kepada RM29.6 juta berbanding RM28.25 juta setahun sebelumnya, berikutan harga emas yang lebih tinggi.
 

Katanya, hasil bagi suku kedua berakhir 31 Januari 2025 (2QFY25) bertambah sebanyak 8.42 peratus perbandingan tahun-ke-tahun (y-o-y) kepada RM459.51 juta daripada RM423.82 juta.
 

Perkembangan tersebut kata syarikat berkenaan, disebabkan faktor peningkatan dalam permintaan masyarakat terhadap barang kemas emas dan produk pelaburan emas.

 

"Poh Kong tidak mengumumkan sebarang dividen bagi suku tersebut," katanya dalam makluman yang difailkan itu kepada bursa.
 

Bagi enam bulan pertama tahun kewangan, syarikat itu melaporkan peningkatan 7.8 peratus dalam keuntungan bersih kepada RM50.94 juta berbanding RM47.25 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
 

Ia juga menunjukkan pertambahan hasil sebanyak 1.15 peratus kepada sejumlah RM788.79 juta daripada RM779.80 juta.
 

Poh Kong berkata, dengan peningkatan pendapatan isi rumah di negara ini, permintaan terhadap emas dan produk emas juga dijangka meningkat.
 

Menyedari bahawa ekonomi Malaysia diramalkan berdaya tahan pada 2025, syarikat itu berkata, tinjauan optimis ini disokong oleh penggunaan domestik yang teguh.
 

"Selain itu, peningkatan perbelanjaan pengguna didorong oleh pengeluaran daripada Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan perbelanjaan kerajaan yang meningkat," katanya.
 

Saham Poh Kong ditutup bertambah dua sen atau 1.9 peratus lebih tinggi pada RM1.05 pada petang Rabu, dengan nilai permodalan syarikat itu kepada RM431 juta. - DagangNews.com