Hanya pengimport AS layak tuntut bayaran balik tarif - MITI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hanya pengimport AS layak tuntut bayaran balik tarif - MITI

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 13 April - Pengeksport Malaysia tidak layak menuntut bayaran balik walaupun sebelum ini menanggung sebahagian daripada tarif 19% yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) kerana tuntutan hanya boleh dibuat oleh pihak pengimport.

 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, bayaran sebahagian tarif yang dipersetujui oleh pengeksport adalah keputusan komersial masing-masing.

 

Katanya, ketika tarif itu mula dikenakan, sebahagian barangan telah pun tiba di pelabuhan AS.

 

“Ada pengimport yang enggan menerima barangan tersebut dan meminta ia dipulangkan semula.

 

“Dalam beberapa kes, mereka meminta syarikat Malaysia menanggung sebahagian kos tersebut.

 

“Itu adalah keputusan komersial (antara pengimport dan pengeksport) dan tidak melibatkan kerajaan,” katanya dalam satu temu bual, menurut The Star.

 

Proses Bayaran Balik Hanya Untuk Pengimport Berdaftar

Beliau mengulas langkah pihak kastam AS yang mula menerima permohonan bayaran balik daripada pengimport susulan keputusan Mahkamah Agung AS pada Februari yang membatalkan sebahagian besar tarif global yang diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump.

 

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) memaklumkan bahawa proses bayaran balik itu pada peringkat awal hanya melibatkan kemasukan barangan yang belum dimuktamadkan atau yang telah dimuktamadkan dalam tempoh 80 hari lalu.

 

Menurut CBP, pengimport sah yang direkodkan di AS kekal sebagai pihak yang diiktiraf oleh pihak kastam untuk proses bayaran balik tersebut.

 

Ini bermakna walaupun pengeksport Malaysia menanggung sebahagian kos tarif melalui keputusan komersial, secara rasmi pengimport AS adalah pihak yang membayar tarif berkenaan.

 

Menjelaskan kekeliruan bahawa tarif ditanggung oleh pengeksport Malaysia, Johari berkata di bawah perjanjian sedia ada, tarif dikenakan ke atas pengimport di AS.

 

Pengeksport Masih Terjejas Walaupun Tidak Bayar Tarif

“Apabila tarif dikenakan, kesannya terhadap eksport kita lebih ketara dari segi nilai kerana ia menjadikan import dari Malaysia kurang menarik.

 

“Walaupun kita terkesan dari sudut ekonomi, kita tidak membayar tarif tersebut. Sebaliknya, pengimport yang membawa masuk barangan kita dikenakan duti oleh pihak AS.

 

“Inilah sebabnya dari segi bayaran balik, hanya pengimport di pihak sana (AS) yang layak. Jika pengimport enggan membayar, mereka tidak akan mengimport daripada kita,” katanya.

 

Johari berkata, walaupun pembatalan Perjanjian Timbal Balik Perdagangan memberi perkembangan positif dan ruang kelegaan kepada pengeksport Malaysia, ia tidak bermakna mereka bebas sepenuhnya daripada duti.

 

Katanya, ketika ini pengeksport masih tertakluk kepada tarif 10% di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan AS 1974, iaitu langkah sementara sementara Washington memuktamadkan struktur tarif baharu.

 

Pada Mac lalu, Johari mengumumkan bahawa perjanjian tersebut tidak lagi terpakai susulan keputusan Mahkamah Agung AS yang membatalkan sebahagian besar langkah tarif menyeluruh yang diperkenalkan sebelum ini. - DagangNews.com