KUALA LUMPUR 9 Jun – Oasis Home Holding Berhad berada pada kedudukan strategik memanfaatkan fenomena jualan secara langsung yang semakin mengubah landskap runcit platform digital di Malaysia.
Menurut RHB Research, perkembangan positif trend tersebut berjaya dijana baik oleh kumpulan itu termasuk melalui hak eksklusif pengedaran dalam talian pelbagai barangan rasmi untuk Piala Dunia FIFA 2026.
Syarikat berkenaan kini melalui transformasi penting daripada sekadar peruncit jenama sendiri kepada perdagangan digital yang membolehkan jenama pihak ketiga memasarkan produk kepada pelanggannya.
"Penyertaan Oasis Home dalam segmen barangan rasmi piala itu dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan baharu, di samping kerjasama luas dalam produk penjagaan kulit, kesihatan dan gaya hidup," katanya.
RHB Research dalam analisisnya menambah, kumpulan itu berkembang pesat sebagai platform 'live commerce' berjaya menarik perbelanjaan pengiklanan dan pengedaran daripada jenama pihak ketiga.
Situasi kali ini mengurangkan kebergantungan kepada produk jenama sendiri setelah bermula sebagai peneraju jualan langsung menerusi Facebook Live dengan tumpuan kepada produk rumah dan gaya hidup.
Oasis Home yang disenaraikan di Pasaran ACE sejak 28 Mei 2025, kini memperluaskan kehadirannya ke platform TikTok dan Instagram bagi menembusi segmen pengguna lebih muda serta pasaran bukan Cina.

"Setakat ini, ia ada lebih 667,000 pengikut di Facebook, selain terus mengembangkan pengaruh di TikTok dan Instagram yang masing-masing sudah memiliki lebih 55,000 dan 5,000 pengikut," kata RHB Research.
Strategi kepelbagaian produk meliputi penjagaan kulit, makanan tambahan kesihatan, dan sukan telah meningkatkan hasil sumbangan jenama pihak ketiga kepada 55% bagi FY25 berbanding 10% sebelum itu.
Antara rakan kerjasama utama Oasis Home ujar firma penyelidikan berkenaan, termasuk Oriental Kopi, Signature Market dan Vanzo, di samping pelanggan dari beberapa jenama penjagaan kulit antarabangsa.
Kejayaan peningkatkan nilai purata setiap pesanan pelanggan (AOV) kata RHB Research, daripada RM950 pada FY24 kepada RM1,286 pada FY25 membuktikan keberkesanan strategi penjanaan nilai pelanggan.
"Pengembangan ke TikTok Live sejak 2024 membuka akses kepada pasaran Melayu yang luas dengan hasil daripada pelanggan bukan Cina meningkat sebanyak 15 kali ganda antara FY23 hingga FY25," ujarnya.
Bagi memperkukuh pertumbuhan jangka panjang, Oasis Home juga merancang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan automasi dalam pemasaran video pendek serta sesi siaran langsung.
Justeru, RHB Research menilai prospek syarikat sebagai positif dengan nilai saksama (FV) 48 sen sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 16 kali bagi unjuran pendapatan FY27.
Bagaimanapun, ia mengingatkan isu persaingan sengit dalam industri, halangan kemasukan, kebergantungan terhadap kekuatan jenama serta risiko gangguan operasi kekal sebagai cabaran. - DagangNews.com








