GuocoLand terima cadangan penswastaan RM1.10 sesaham, membabitkan pembayaran balik modal RM269.45 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GuocoLand terima cadangan penswastaan RM1.10 sesaham, membabitkan pembayaran balik modal RM269.45 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 Feb – GuocoLand (Malaysia) Bhd menerima cadangan daripada pemegang saham pengawalnya, GLL (Malaysia) Pte Ltd (GLLM), untuk menswastakan syarikat tersebut menerusi pelaksanaan pengurangan modal terpilih dan pembayaran balik modal pada harga RM1.10 sesaham.

 

Menurut pemfailan kepada Bursa Malaysia, cadangan itu melibatkan pembelian balik 244.95 juta saham atau 34.97% kepentingan yang kini tidak dimiliki oleh GLLM, dengan jumlah pembayaran balik modal sebanyak RM269.45 juta.

 

Tan Sri Quek Leng Chan, yang memiliki pegangan langsung sebanyak 2.78% atau 19.51 juta saham dalam GuocoLand Malaysia, dijangka menerima RM21.46 juta sekiranya cadangan itu dilaksanakan.

 

GLLM, anak syarikat milik penuh GuocoLand Ltd yang tersenarai di Singapura, memaklumkan bahawa pembiayaan penswastaan akan menggunakan lebihan tunai GuocoLand Malaysia, manakala baki keperluan dana akan dipenuhi melalui pendahuluan atau suntikan ekuiti daripada GLLM atau syarikat induknya.

 

Setakat akhir Disember 2025, GuocoLand Malaysia mempunyai tunai dan setara tunai sebanyak RM197.2 juta, berbanding jumlah pinjaman RM584.8 juta, dengan aset ketara bersih mencecah RM2.08 sesaham.

 

Berdasarkan anggaran kasar, GuocoLand Ltd perlu menyediakan kira-kira RM72.25 juta tambahan bagi melengkapkan proses penswastaan tersebut.

 

Selepas pelaksanaan, sebanyak 244.95 juta saham akan dibatalkan, menjadikan jumlah saham beredar berkurang kepada 455.51 juta.

 

Kesemua baki saham akan dimiliki oleh GLLM, sekali gus menjadikan GuocoLand Malaysia sebagai anak syarikat milik penuh tidak langsung GuocoLand Ltd. Pada masa ini, GLLM memegang 65.03% kepentingan dalam syarikat itu.

 

Harga tawaran RM1.10 sesaham mewakili premium 17.65% berbanding harga dagangan terakhir 93.5 sen setakat 30 Januari, serta premium 47.73% berbanding purata harga wajaran volum enam bulan sebanyak 74.46 sen.

 

GLLM turut menyatakan bahawa ia tidak bercadang untuk mengekalkan status penyenaraian GuocoLand Malaysia dan akan memohon kepada Bursa Securities untuk menyahsenarai syarikat tersebut selepas selesai pelaksanaan cadangan berkenaan.

 

Antara rasional penswastaan yang dikemukakan termasuk kecairan dagangan saham yang rendah, peluang kepada pemegang saham minoriti untuk keluar pada harga premium, serta manfaat terhad untuk kekal tersenarai memandangkan syarikat tidak menjalankan pengumpulan dana ekuiti sejak lebih 10 tahun lalu.

 

Lembaga pengarah GuocoLand Malaysia mempunyai tempoh sehingga 2 Mac ini untuk mempertimbangkan dan memutuskan sama ada akan melaksanakan cadangan tersebut.

 

Bagaimanapun, dua pengarah bukan eksekutif bukan bebas, Cheng Hsing Yao dan Quek Kon Sean, akan mengecualikan diri daripada perbincangan dan pengundian kerana dianggap sebagai pihak yang bertindak secara bersama.

 

Cadangan penswastaan ini tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, pemegang saham berkepentingan pada mesyuarat agung luar biasa, serta pengesahan Mahkamah Tinggi.

 

Saham GuocoLand Malaysia yang digantung dagangan sementara pada Selasa susulan pengumuman itu telah meningkat 59.8% sejak awal tahun, dengan harga terakhir pada 93.5 sen, paras tertinggi sejak 2018, dan permodalan pasaran berjumlah RM654.9 juta.

 

Berdasarkan data AskEdge, saham syarikat kini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan 30.9 kali dan nisbah harga kepada nilai buku 0.5 kali. - DagangNews.com