KUALA LUMPUR 16 April - Green Packet Bhd (GPB) akan bekerjasama dengan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) bagi mempercepatkan transformasi digital restoran di bawah persatuan itu seluruh negara.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memberitahu telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi kerjasama itu yang akan menjadi asas kepada pembangunan ekosistem digital bersepadu menyasarkan rangkaian luas restoran di bawah Presma.
"Inisiatif bertujuan meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh keterangkuman kewangan serta menyokong kemampanan jangka panjang industri F&B Muslim," kata kenyataan itu.
Di bawah MOU tersebut, GPB akan menyediakan pelbagai penyelesaian teknologi kewangan (fintech) dan platform digital termasuk gerbang pembayaran, e-dompet label putih, sistem tempat jualan (POS) serta alat automasi operasi.
Selain itu, kedua-dua pihak turut meneroka potensi pembangunan perkhidmatan kewangan seperti pembiayaan digital, kiriman wang dan akses gaji yang diperoleh bagi menyokong keperluan pengusaha restoran.
“Kerjasama ini membuka peluang untuk membangunkan satu Superapp bersepadu yang dapat menghubungkan keseluruhan ekosistem Presma, sekali gus mempercepatkan pendigitalan industri,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, kedua-dua pihak akan menilai aspek kebolehlaksanaan dan skala terlebih dahulu sebelum memeterai sebarang perjanjian muktamad.
MOU tersebut berkuat kuasa selama tempoh satu tahun dari tarikh ditandatangani dan boleh diperbaharui bagi tempoh tambahan satu tahun lagi tertakluk kepada persetujuan bersama.
Dari sudut risiko, GPB menjelaskan bahawa MOU itu tidak mewujudkan sebarang obligasi kontrak material dan tidak dijangka mendedahkan syarikat kepada risiko perniagaan baharu.
Sementara itu, dari segi kewangan, kerjasama tersebut tidak dijangka memberi kesan terhadap modal saham terbitan, pegangan pemegang saham utama, aset bersih, tahap penggearan serta pendapatan dan pendapatan sesaham kumpulan GPB. - DagangNews.com








