Grab beli pasaraya Everrise, pacu perniagaan di Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Grab beli pasaraya Everrise, pacu perniagaan di Sarawak

PREMIER Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg (empat dari kiri) pada majlis pemeteraian persefahaman antara SDEC dengan Grab Malaysia.
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Mac — Grab Holdings Inc mengambil alih keseluruhan pegangan pasar raya Everrise daripada sebuah firma ekuiti swasta, Navis Capital Partners, yang berpangkalan di ibu negara.


Butiran urus niaga namun tidak didedahkan dalam kenyataan makluman perjanjian itu. Navis melabur dalam Eastern Grocer Sdn Bhd pada 2019 sebelum menukar model perniagaan menjadi rangkaian runcit premium dengan 19 cawangan di Sabah dan Sarawak.


Ia susulan langkah pembelian sebahagian besar pegangan Grab dalam Jaya Grocer Holdings Sdn Bhd, iaitu rangkaian pasar raya premium besar-besaran terkemuka di Malaysia yang telah dilaksanakannya kira-kira dua tahun lalu.


Menurut rakan kongsi Navis, Edwin Fua, Everrise memiliki warisan kukuh 30 tahun, pelanggan setia dan pasukan berdedikasi. Melalui penggabungan dengan pengalaman, ia dengan cepat menjadi jenama terkemuka yang tidak dipertikaikan.


“Kami amat berbangga berkongsi dengan pengasas Everrise iaitu keluarga Sia dan menghargai sumbangan mereka dalam membuat perjalanan ini bersama kami. Perniagaan kini berada pada kedudukan baik untuk mengambil langkah seterusnya," katanya.


Beliau bahkan yakin, Everrise terus menerajui pendigitalan pengalaman membeli-belah barangan runcit bersama-sama dengan Grab dan akan menjadi tahun-tahun yang lebih  mengujakan selain mengharapkan kejayaan yang berterusan.


Jeffrey Sia, yang mewakili keluarga pengasas Everrise itu berkata, Navis telah membantu mengalihkan perniagaan kepada pasukan profesional sepenuhnya dan mewujudkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan masa depan yang bebas.


“Visi Grab untuk masa depan pula muncul pada masa tepat dan akan menjadi permulaan kepada pencapaian baharu untuk perniagaan mencapai tahap lebih tinggi. Everrise menantikan perkongsian baharu ini demi pelanggan kami”.


Ditubuhkan pada 1998, Navis menguruskan kira-kira AS$5 bilion (RM22.3 bilion) dalam ekuiti persendirian dan modal kredit persendirian serta menumpukan bidang pelaburan terutamanya di Asia Tenggara selain rantau ekonomi bersebelahan.
 

grab
PEMETERAIAN memorandum persefahaman antara SDEC dengan Grab bagi kerjasama pendigitalan perniagaan kecil dan pelancongan Sarawak.

 

Sementara itu, Grab Malaysia dan Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) bekerjasama untuk memacu pertumbuhan dalam sektor pelancongan dan perniagaan kecil dengan meningkatkan akses digital dan peluang ekonomi di Sarawak.
 

Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo, berkata kedua-dua pihak akan memanfaatkan keupayaan teknologi dan dalam aplikasi Grab untuk mempromosikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan utama kepada pengguna di seluruh Asia Tenggara. 
 

Grab dan SDEC juga ujarnya, akan berusaha untuk membantu peniaga tempatan tradisional mendigitalkan perniagaan mereka, selain memberikan golongan itu akses kepada pangkalan pelanggan yang lebih luas dan mengembangkan potensi pendapatan mereka.
 

“Grab komited untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menyokong pertumbuhan ekonomi digital yang inklusif dan mampan di seluruh Malaysia dan inisiatif terbaru kami di Sarawak mencerminkan perkara ini. 
 

"Kami teruja tingkat pelaburan ke Sarawak, dan berterima kasih atas kerjasama kerajaan Sarawak dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak. Kami berdedikasi untuk menggunakan teknologi untuk meningkatkan keupayaan digital di negeri ini.
 

"Ini mengukuhkan daya tahan perniagaan tempatan melalui pendigitalan, memenuhi permintaan rakyat yang meningkat untuk perkhidmatan dalam talian boleh dipercayai dan mudah, serta mewujudkan peluang bermakna untuk komuniti.”
 

Beliau menyatakan demikian pada majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) yang bertujuan untuk mempercepatkan transformasi digital di Sarawak dengan Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Datuk Sudarnoto Osman.
 

Sementara itu, Sudarnoto berkata, sektor pelancongan digital Sarawak merupakan tunjang utama pertumbuhan ekonomi, dan kerjasama dengan Grab ini mengukuhkan komitmen untuk meletakkan negeri ini sebagai hab digital terkemuka di rantau ini.
 

"Dengan memanfaatkan kepakaran teknologi Grab, ekosistem dipacu data dan jangkauan serantau yang meluas, kami bukan sahaja meningkatkan kebolehcapaian digital untuk perniagaan tempatan tetapi juga mewujudkan ekonomi digital sedia pelaburan.
 

"Perkongsian ini adalah langkah strategik untuk menarik inovasi, memperkasakan keusahawanan, memacu pengembangan ekonomi, dan mengukuhkan kehadiran Sarawak di peta digital global,” tambah beliau.
 

Pemeteraian MoU antara Grab dan SDEC juga menyaksikan kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam beberapa inisiatif strategik yang direka untuk memberi manfaat kepada pengguna dan perniagaan kecil di Sarawak. - DagangNews.com