Golden Land beli 100% ekuiti Wise Creation berjumlah RM29.8 juta, perluas simpanan tanah di Sabah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Golden Land beli 100% ekuiti Wise Creation berjumlah RM29.8 juta, perluas simpanan tanah di Sabah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 16 MacGolden Land Berhad mengambil alih 100% ekuiti dalam syarikat pembangunan hartanah, Wise Creation Sdn Bhd daripada seramai 14 vendor dengan pertimbangan tunai RM29.84 juta.


Pembelian tersebut dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuhnya, Sparkle Selections Sdn Bhd yang memuktamadkan perjanjian jual beli saham (SSPA) bersama-sama semua penjual itu pada 14 Mac 2026.


Selain nilai pembelian saham, subsidiari berkenaan juga bersetuju untuk melunaskan hutang antara syarikat dan pendahuluan pemegang saham bagi pihak Wise Creation yang berjumlah RM10,156,975.


"Ia merupakan pemilik tiga bidang tanah di daerah Kota Kinabalu, Sabah, yang mempunyai nilai pasaran dianggarkan berjumlah RM42.3 juta berdasarkan laporan penilaian bebas," kata Golden Land. 


Menurut maklumannya kepada Bursa Malaysia, langkah strategik ini bertujuan menyokong strategi pengembangan dalam meningkatkan simpanan tanah bagi projek pembangunan masa hadapan di negeri itu.


Tambah kumpulan tersebut, Lembaga Pengarah berpendapat yang usaha pengambilalihan berkenaan akan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan syarikat itu dalam jangka masa panjang.


Urus niaga ini jelas Golden Land, akan dibiayai terus melalui gabungan dana dalamannya sendiri dan pinjaman bank, dengan nisbah peratusan tertinggi bagi transaksi berkenaan adalah sebanyak 14.56%.


"Angka itu berdasarkan penyata kewangan teraudit kumpulan bagi tahun berakhir 30 Jun 2025, dan jika tiada halangan, pengambilalihan ini dijangka dapat selesai menjelang Jun 2026," katanya.


Di samping itu, ia mengesahkan tiada mana-mana pengarah atau pemegang saham utama kumpulan berkenaan mempunyai sebarang kepentingan dalam transaksi tersebut. - DagangNews.com