KUALA LUMPUR 6 April — Golden Destinations Group Berhad berdepan risiko penyusutan permintaan pakej pelancongan ke Eropah susulan ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah, menurut analisis RHB Research.
Firma penyelidikan berkenaan namun menyifatkan kekuatan segmen percutian di pasaran Asia yang ditawarkan kumpulan agensi pengembaraan itu dijangka mampu menampung isu kelemahan tersebut.
Jelasnya, permintaan destinasi di China dan beberapa negara di Asia adalah kukuh, dipacu pengecualian visa ke atas pelancong Malaysia, permintaan beralih dari Eropah serta pengukuhan nilai semasa ringgit.
"Asia menyumbang 55% kepada hasil Golden Destinations berbanding 12% bagi Eropah, dan sebarang penurunan permintaan diimbangi oleh pertumbuhan tinggi di Asia," kata RHB Research dalam notanya.
Justeru, ia menilai harga tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu sebagai adil pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 14.6 kali bagi FY27 dengan nilai saksama (FV) yang ditetapkan 46 sen sesaham.
Kumpulan tersebut bercadang mengumpul dana berjumlah RM90 juta melalui penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia mulai 16 April 2026, yang kemudiannya akan digunakan bagi pelbagai tujuan.
Antaranya jelas RHB Research, termasuk pembinaan ibu pejabat berpusat yang baharu, selain tujuan pemasaran agresif, serta pengembangan cawangan Golden Destinations ke Singapura dan Sarawak.

"Model perniagaan syarikat berasaskan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) sebagai ‘pemaju pakej’ dan membezakannya daripada pesaing lain lebih tertumpu kepada segmen perniagaan-ke-pelanggan (B2C).
Melalui model ini, syarikat membangunkan 2,800 pakej pelancongan yang dipasarkan menerusi rangkaian lebih 800 ejen pelancongan bebas, memperluaskan capaian pasaran tanpa kos operasi runcit tinggi.
RHB Research turut menyatakan Golden Destinations merupakan antara agensi pelancongan pasaran luar negara terbesar di Malaysia dari segi hasil bersih, mencerminkan kepercayaan tinggi pelanggannya.
Dari segi pertumbuhan, perluasan ke pasaran baharu seperti Sabah dan Sarawak, serta Singapura dijangka menjadi pemangkin utama, disokong permintaan kukuh daripada ejen pelancongan di republik itu.
"Kami namun mengingatkan ada risiko utama termasuk persaingan sengit, ketidaktentuan geopolitik, bencana alam, wabak penyakit dam potensi kelembapan permintaan pelancongan luar negara," katanya.
IPO Golden Destinations kata RHB Research, melibatkan peruntukan sebanyak 200 juta saham biasa baharu serta kira-kira 100 juta saham sedia ada melalui tawaran jualan. - DagangNews.com








