GLIC ditetapkan KPI perlu labur RM120 bilion dalam 5 tahun, PM Anwar beritahu Parlimen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GLIC ditetapkan KPI perlu labur RM120 bilion dalam 5 tahun, PM Anwar beritahu Parlimen

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Mac — Enam Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) ditetapkan perlu melabur sejumlah RM120 bilion dalam Pelaburan Langsung Domestik (DDI) bagi tempoh lima tahun, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 

Langkah berkenaan, kata beliau, merupakan salah satu daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di bawah program reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEARuP) yang turut menekankan aspek sumbangan GLIC kepada usaha pembangunan negara.
 

"Tumpuan dan KPI di GLIC tidak hanya tertumpu kepada pulangan kewangan semata-mata dan di bawah GEARuP, mereka melaksanakan pelaburan strategik dan menyumbang kebajikan pekerja, kesejahteraan komuniti serta memperkukuh agenda Bumiputera," katanya.
 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam jawapan lisan kepada soalan Senator Dewan Negara, Datuk Mustafa Musa pada Khamis yang ingin tahu fokus terkini KPI syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan GLIC agar sumbangan dividen dan keuntungan operasi dipertingkatkan.
 

Menjelaskan lanjut, Anwar berkata, selain itu GLIC berkenaan menyumbang keseluruhan sebanyak RM440 bilion dalam pelaburan pasaran awam di bawah program pelaburan sedia ada mereka yang tertumpu kepada sektor bernilai dan berpertumbuhan tinggi (HGHV).
 

"Ini seperti peralihan tenaga, pembuatan termaju terutama bidang semikonduktor, melibatkan pelaburan dalam semua peringkat kitaran hayat iaitu daripada syarikat mula niaga, modal teroka hingga syarikat pertengahan, serta menyokong penyenaraian syarikat ini," katanya.
 

Momentum positif dalam pelaburan disalurkan ke sektor HGHV katanya, sudah dapat dilihat antaranya Khazanah Nasional Berhad melalui Dana Impak memperuntukkan RM1 bilion masing-masing untuk tiga inisiatif utama di bawah Jelawang Capital, Pelaburan Semikonduktor dan Syarikat Peringkat Pertengahan.
 

Pada Disember 2024, Khazanah menjadi pelabur utama dalam Cambrian Fund bernilai RM100 juta yang akan melabur dalam usahawan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) semikonduktor tempatan selain melabur secara langsung dalam Syntiant Corp yang berhasrat untuk menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) kecerdasan buatan (AI) bertaraf dunia di Malaysia.
 

Anwar berkata, pelaburan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) di bawah Belanjawan 2025 merangkumi Dana Perintis RM1 bilion dan Dana Pemacu RM6 bilion dengan pada masa ini, 50 peratus daripada Dana Perintis telah disalurkan kepada syarikat-syarikat, manakala Dana Pemacu akan dilancarkan pada 2025.
 

"GLIC lain seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) terus mengorak langkah dalam memperkukuh ‘relay-race’ pelaburan Bumiputera, membangun taman perindustrian strategik seperti Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP)," kata beliau.
 

Terdahulu, Anwar menyatakan bahawa prestasi GLIC pada 2024 adalah amat meyakinkan dan memberangsangkan didorong prestasi GLC dan landskap pelaburan Malaysia yang lebih meluas dengan memberikan contoh Khazanah mencatat keuntungan sebanyak RM5.1 bilion.

 

Ia katanya, mencatatkan pertumbuhan rekod Nilai Aset Bersih (NAV) kepada RM103.6 bilion dan juga diiktiraf oleh Global SWF sebagai salah satu agensi dana kekayaan berdaulat yang berprestasi terbaik di dunia dengan pulangan tahunan sebanyak 24.6 peratus.
 

Prestasi ini kata beliau, mencerminkan kejayaan Ekonomi Madani yang telah memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh melalui pembaharuan ekonomi yang meyakinkan pelabur dan seterusnya menyumbang kepada prestasi pasaran modal tahun 2024.
 

"Penekanan reformasi Madani kepada tatakelola juga diberi keutamaan dalam GLIC bagi memastikan pengurusan pelaburan yang bertanggungjawab dan berkesan," kata Anwar. - DagangNews.com