KUALA LUMPUR 20 Mei - Program geran padanan RM10 juta bagi penggantian kenderaan lama yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2026 habis digunakan sepenuhnya dalam tempoh hanya tiga bulan, sekali gus mencerminkan permintaan kukuh terhadap inisiatif penggantian kenderaan secara tersusun di Malaysia.
CIMB Securities berkata, perkembangan itu menunjukkan potensi besar industri kitar semula kenderaan akhir hayat (ELV) dalam jangka panjang, terutama dengan peningkatan jumlah kenderaan lama di negara ini.
Menurut firma itu, dapatan tersebut diperoleh susulan lawatan tapak bersama pelabur institusi ke operasi kitar semula ELV termasuk ke Car Medic Sdn Bhd, yang merupakan satu daripada hanya lima pengendali fasiliti rawatan automotif bertauliah berlesen di Malaysia.
“Walaupun Malaysia sebelum ini berhati-hati untuk melaksanakan dasar ELV di seluruh negara disebabkan isu kemampuan pengguna dan sensitiviti awam, kami melihat penambahbaikan dasar secara berperingkat masih berpotensi diperkenalkan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut CIMB Securities, langkah tersebut mungkin melibatkan piawaian pemeriksaan lebih ketat, insentif pelupusan bersasar serta keperluan pembatalan pendaftaran rasmi yang dilaksanakan secara berperingkat.
Firma itu berkata, Car Medic kini dalam proses menggandakan kapasiti pemprosesan bulanan kenderaan kepada 3,000 unit berbanding 1,500 unit ketika ini bagi memenuhi potensi pertumbuhan industri.
Selain itu, syarikat berkenaan turut menilai penggunaan teknologi kitar semula bernilai tinggi seperti mesin penghancur kenderaan bagi meningkatkan kadar pemulihan bahan dan kualiti besi buruk.
“Kami melihat peluang industri ini masih besar memandangkan struktur pasaran yang masih berpecah-pecah serta penguasaan pemain tidak formal yang masih ketara,” katanya.
Menurut CIMB Securities, sektor kitar semula ELV kini berkembang melangkaui fungsi tradisional pengurusan sisa kepada tema kelestarian dan ekonomi kitaran dalam industri automotif negara.
Firma itu berpandangan walaupun pelaksanaan dasar ELV nasional masih belum pasti, hala tuju jangka panjang jelas menunjukkan ekosistem kitar semula automotif yang lebih terkawal, telus dan mematuhi piawaian alam sekitar. - DagangNews.com








