KUALA LUMPUR 7 Mei - Pendapatan suku pertama 2026 (1Q26) Genting Malaysia Bhd dijangka mencatat peningkatan secara suku ke suku kepada antara RM100 juta hingga RM200 juta, dipacu oleh aktiviti pelancongan lebih kukuh berikutan faktor bermusim sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Menurut Affin Hwang Investment Bank (Affin Hwang), prestasi kumpulan itu bagi keseluruhan tahun 2026 dijangka meningkat sekitar 8% tahun ke tahun, namun masih berada di bawah paras sebelum pandemik.
“Pendapatan Genting Malaysia banyak bergantung kepada operasi di Malaysia yang menyumbang kira-kira 80% kepada EBITDA kumpulan,” kata firma penyelidikan itu dalam nota kajian hari ini.
Berdasarkan maklumat MyBursa, Genting Malaysia dijadualkan mengumumkan prestasi kewangan 1Q26 pada 29 Mei.
Menurutnya, kunjungan ke Resorts World Genting (RWG) kini melepasi paras pra-pandemik secara purata, namun perbelanjaan per kapita kekal mendatar akibat persekitaran kos yang lebih tinggi.
Affin Hwang menjangkakan EBITDA operasi Malaysia bagi 2026 meningkat kepada RM2.21 bilion berbanding RM2.14 bilion pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, margin EBITDA dijangka susut kepada 29% berbanding 30% pada 2025 susulan kesan penuh peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Bagi operasi antarabangsa, firma itu menjangkakan EBITDA UK dan Amerika Syarikat bagi 2026 menurun kepada RM656 juta, dipengaruhi oleh kerugian perniagaan Empire serta kerugian fasa awal operasi di AS, selain kesan pengukuhan ringgit.
Firma itu mengekalkan saranan “Hold” ke atas Genting Malaysia dengan harga sasaran RM2.15, dengan menyatakan harga saham semasa sudah mencerminkan jangkaan pemulihan pendapatan yang sederhana. - DagangNews.com








