KUALA LUMPUR 30 Okt - Ge-Shen Corporation Bhd menjual sebidang tanah perindustrian di Johor pada harga RM7.6 juta kepada Sim-Ray Engineering Sdn Bhd.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, Ge Shen berkata, tanah di Tebrau yang berluas kira-kira 0.5 hektar itu juga mempunyai kilang terbiar.
Katanya, penjualan kepada Sim-Ray Engineering akan memberi peluang kepada syarikat merealisasikan nilai pelaburannya dalam hartanah itu.
"Cadangan penjualan tanah ini juga mungkin mengukuhkan kedudukan kecairan dan aliran tunainya," katanya.
Harga yang ditetapkan oleh Ge-Shen mewakili diskaun sebanyak 8.4% daripada nilai pasaran hartanah iaitu sebanyak RM8.3 juta.
Ge-Shen berkata, harga pejualan itu dinilai oleh Irhamy Valuers International Sdn Bhd berdasarkan urus niaga terbaru hartanah.
Sementara itu, Ge-Shen berkata, cadangan penjualan tanah itu tidak akan menjejaskan operasi sedia adanya.
"Apabila penjualan itu sudah siap menjelang Mac 2025, syarikat akan menjana keuntungan bersih kira-kira RM5.28 juta," katanya.- DagangNews.com