Gamuda menang kontrak ladang solar 75MW di Australia, nilai dianggarkan RM600 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda menang kontrak ladang solar 75MW di Australia, nilai dianggarkan RM600 juta

Tapak Ladang Solar Jinbi berkapasiti 75 megawatt (MW) yang akan dibina Gamuda di wilayah Pilbara, kira-kira 56 kilometer dari Karratha, Australia Barat. - Gambar/Gamuda.com
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 11 Mei - Gamuda Bhd memperoleh kontrak bagi membangunkan ladang solar berkapasiti 75 megawatt (MW) di Australia Barat, sekali gus mengukuhkan lagi portfolio tenaga boleh diperbaharui kumpulan itu di negara berkenaan.

 

Dalam satu kenyataan, Gamuda berkata, projek Ladang Solar Jinbi di wilayah Pilbara itu melibatkan pemasangan kira-kira 160,000 panel solar dan akan membekalkan tenaga kepada syarikat tenaga tempatan, Rio Tinto, sekali gus membantu menyokong operasi perlombongan dengan sumber tenaga yang lebih mampan dan boleh dipercayai.

 

Projek tersebut dimiliki oleh Yindjibarndi Energy Corporation, sebuah inisiatif tenaga boleh diperbaharui yang diterajui komuniti pribumi Australia. Nilai kontrak bagaimanapun tidak didedahkan.

 

Bagaimanapun, RHB Research dalam nota penyelidikan selepas pengumuman itu menganggarkan kontrak berkenaan bernilai sekitar RM600 juta kepada Gamuda.

 

Ketua Pegawai Eksekutif DT Infrastructure, anak syarikat milik penuh Gamuda di Australia, John Anderson berkata, projek itu merupakan tambahan penting kepada saluran projek tenaga boleh diperbaharui kumpulan.

 

“Projek ini mencerminkan komitmen kami terhadap pembangunan infrastruktur masa depan di Pilbara selain memperkukuh kedudukan Gamuda dalam sektor tenaga hijau di Australia,” katanya.

 

Menurut Gamuda, projek Ladang Solar Jinbi menambah kepada portfolio syarikat yang semakin berkembang di Australia termasuk Fasa 1 Marinus Link, Ladang Angin Carmody’s Hill, Ladang Solar Goulburn River dan Ladang Angin Boulder Creek.

 

Syarikat itu berkata, notis memulakan kerja telah dikeluarkan selepas proses penutupan kewangan projek dimuktamadkan termasuk pembiayaan, pengaturan kontrak serta kelulusan kerajaan dan pembinaan.

 

Dalam masa sama, perjanjian pembelian tenaga selama 30 tahun antara Rio Tinto dan Yindjibarndi Energy turut dimeterai.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Yindjibarndi Energy, Craig Ricato dalam kenyataan berasingan berkata, perkembangan itu membolehkan projek memasuki fasa pembinaan dengan segera.

 

Operasi komersial penuh bagi menandakan bermula perjanjian pembelian tenga 30 tahun itu dijangka bermula pada pertengahan tahun 2028.

 

Projek itu turut mempunyai potensi peluasan kapasiti sehingga 150MW termasuk kemungkinan pemasangan sistem penyimpanan tenaga bateri, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa dan keputusan pembangunan pada masa hadapan. - DagangNews.com