KUALA LUMPUR 19 Dis – Gamuda Berhad diyakini akan terus mencipta momentum luar biasa pada FY26 selepas menjuarai beberapa kontrak mega bernilai berbilion ringgit di Australia dan Malaysia, menurut penganalisis.
Penganalisis berpendapat, kemenangan projek Sydney Metro West bernilai RM7.32 bilion dan Carmody’s Hill Wind Farm RM718 juta bukan sahaja akan melonjakkan kedudukan syarikat, malah membuktikan keupayaan Gamuda menembusi pasaran antarabangsa dengan strategi yang mantap.
Penganalisis berkata kejayaan meraih semua kontrak tersebut melonjakkan nilai buku pesanan Gamuda kepada RM45.9 bilion, melebihi sasaran asal FY26, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai pemain utama dalam pasaran antarabangsa dan domestik.
Selain projek antarabangsa, Gamuda turut memperoleh beberapa projek domestik penting termasuk pembangunan pusat data berskala besar dan projek infrastruktur jalan raya yang dijangka menyokong pertumbuhan hasil syarikat dalam tempoh lima tahun akan datang.
RHB Research mengekalkan saranan Beli bagi Gamuda dengan harga sasaran RM7.
Firma penyelidikan itu berkata dua kontrak besar yang dimenangi di Australia dijangka menyumbang margin pra-cukai sekitar 5% sepanjang tempoh projek.
“Dengan sasaran buku pesanan antara RM50 bilion hingga RM55 bilion menjelang akhir 2026, kami melihat peluang syarikat untuk memperoleh projek baharu masih tinggi, termasuk tender bernilai sekitar RM50 bilion di Malaysia, Australia, Singapura dan Taiwan,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
RHB juga menyatakan tiada perubahan pada unjuran pendapatan kerana kontrak baharu tersebut sudah selaras dengan anggaran penggantian kerja FY26 mereka.
Selain itu, faktor premium ESG sebanyak 8% turut dikira dalam harga sasaran, memandangkan Gamuda menunjukkan prestasi cemerlang dalam pengurusan pelepasan karbon, keselamatan pekerja dan tadbir urus korporat.
Walaupun P/E FY27F syarikat berada pada 17.6 kali, melebihi purata 10-tahun indeks pembinaan Bursa Malaysia sebanyak 14 kali, RHB Research berpandangan nilai wajar Gamuda masih boleh meningkat.
ARTIKEL BERKAITAN: Gamuda raih dua lagi kontrak di Australia bernilai lebih RM8 billion

Sementara itu, MBSB Research juga mengekalkan saranan Beli untuk Gamuda dengan harga sasaran RM6.35.
Firma tersebut berkata kontrak besar yang diperoleh di Australia dan domestik menyokong unjuran pendapatan dan keuntungan FY26 dan FY27, termasuk projek pusat data, jalan raya, dan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui.
“Kejayaan ini dijangka meningkatkan EPS teras dari 17.5 sen pada FY25 kepada 25.8 sen pada FY26.
“Prestasi kewangan syarikat yang stabil dengan pertumbuhan hasil FY26 dijangka meningkat 21.5% kepada RM19.4 bilion, selaras dengan projek-projek baharu.
“Syarikat mampu menguruskan aliran tunai dan pelaburan modal, serta memastikan kos kewangan dan hutang berada dalam tahap terkawal, sekali gus menyokong pertumbuhan berterusan,” katanya.
MBSB Research turut menyatakan bahawa Gamuda berada pada kedudukan kukuh dari segi aset dan liabiliti, dengan keseimbangan antara aliran tunai, hutang jangka pendek dan panjang yang terkawal, serta nisbah kecairan yang baik.
Ini membolehkan syarikat terus menyertai tender besar di pasaran antarabangsa, terutama di Australia dan New Zealand.
Dalam pada itu, Maybank Investment Bank mengekalkan saranan beli dengan harga sasaran RM5.79 bagi Gamuda.
“Tarikh 18 Disember 2025 akan tercatat dalam sejarah syarikat apabila Gamuda berjaya memperolehi kontrak bernilai RM8 bilion dari Australia dalam satu hari sahaja, menjadikan jumlah kontrak FYTD setakat ini RM13.3 bilion atau 53% daripada unjuran FY26,” katanya.
Maybank IB berkata projek utama termasuk Carmody’s Hill Wind Farm bernilai RM718 juta di South Australia, yang akan bermula pada awal 2026 selama 28 bulan, serta Sydney Metro West - Stations Package bernilai RM7.32 bilion di New South Wales dengan tempoh siap dijangka Mei 2031.
Kedua-dua projek dijangka menyumbang RM281.3 juta kepada keuntungan bersih teras atau 5 sen sesaham sepanjang tempoh projek.
Firma itu menegaskan unjuran pendapatan dan keuntungan tidak berubah, berlandaskan anggaran FY26E/FY27E/FY28E bagi kontrak baharu sebanyak MYR25 bilion setahun dan jualan hartanah bernilai RM5.5 bilion hingga RM13.2 bilion.
Maybank IB melihat kedudukan buku pesanan semasa dan projek antarabangsa sebagai faktor utama yang menyokong potensi pertumbuhan jangka panjang Gamuda. - DagangNews.com








