Gamuda berpotensi raih lagi kontrak pusat data di Port Dickson bernilai sehingga RM18 bilion - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda berpotensi raih lagi kontrak pusat data di Port Dickson bernilai sehingga RM18 bilion - Penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 April - Gamuda Bhd berpotensi memperoleh beberapa lagi anugerah kontrak pusat data (DC) daripada pembangunan berskala besar di Port Dickson, Negeri Sembilan yang dianggarkan bernilai antara RM16 bilion hingga RM18 bilion, menurut penganalisis.

 

CGS International berkata, pembangunan berkenaan melibatkan sekitar lapan hingga sembilan pusat data yang akan dibangunkan secara berperingkat di atas tapak seluas 389 ekar milik Pearl Computing.

 

“Anugerah kontrak seterusnya dijangka berlaku sebelum akhir tahun ini, mengambil kira kemajuan awal projek serta keperluan berterusan terhadap infrastruktur pusat data,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

 

Tambah CGSI, Gamuda dilihat sebagai antara calon utama untuk dipilih sebagai kontraktor bagi kerja-kerja pembangunan pusat data tersebut, khususnya bagi kontrak yang dianugerahkan secara terus oleh pemilik projek.

 

Ini berikutan penglibatan awal kumpulan itu dalam memudah cara urus niaga tanah bagi pembangunan berkenaan, sekali gus memberikan kelebihan dari segi hubungan strategik dan kefahaman terhadap keperluan projek.

 

Pada Mei 2025, Gamuda telah menjual tanah seluas 389 ekar di Port Dickson kepada Pearl Computing Malaysia Sdn Bhd, iaitu syarikat berkaitan Google, dengan nilai RM455.23 juta.

 

Menurut laporan media tanah itu yang asalnya dirancang untuk projek pusat data oleh Gamuda sendiri, kini akan menjadi tapak mega pusat data milik Google di Malaysia.

 

Sementara itu pada Jumaat 17 April 2026, Gamuda mengumumkan anak syarikatnya, Gamuda Engineering Sdn Bhd, memperoleh kontrak bernilai RM1.72 bilion bagi pembinaan pusat data hiperskala di Port Dickson untuk sebuah syarikat teknologi multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata projek berkenaan melibatkan pembinaan kemudahan setingkat yang merangkumi kerja infrastruktur tapak, pembinaan teras dan struktur, serta pemasangan mekanikal, elektrikal dan paip (MEP).

 

CGSI berkata, Gamuda berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran buku tempahan sebanyak RM50 bilion menjelang akhir tahun kalendar 2026 (CY26F), disokong oleh momentum kemenangan kontrak yang kukuh setakat ini.

 

Menurutnya, kemenangan terbaharu syarikat itu telah meningkatkan jumlah kontrak dimenangi setakat tahun kewangan FY7/26F kepada RM15 bilion, sekali gus menjadikan buku tempahannya berkembang kepada RM45.5 bilion sehingga April 2026.

 

“Segmen pusat data kini menyumbang kira-kira 10% daripada keseluruhan nilai buku tempahan mencerminkan kepentingan sektor itu sebagai pemacu pertumbuhan baharu kumpulan,” katanya.

 

Bagi projek pusat data yang dimenangi, Gamuda dijangka mencatat margin sebelum cukai sekitar 8%, sejajar dengan struktur kontrak berasaskan kos tambah (cost plus) yang diamalkan bagi segmen berkenaan.

 

Walaupun berdepan ketidaktentuan global termasuk konflik geopolitik antara Amerika Syarikat dan Iran, Gamuda kekal optimis untuk mencapai sasaran tersebut.

 

Dengan mengambil kira kadar penggunaan projek (burn rate) sekitar RM1 bilion sebulan, syarikat itu dianggarkan perlu meraih tambahan kontrak bernilai kira-kira RM15 bilion lagi menjelang akhir CY26F bagi memenuhi sasaran buku tempahan yang ditetapkan.

 

Sehubungan itu CGSI mengekalkan saranan “TAMBAH” ke atas saham Gamuda, disokong oleh kepelbagaian buku tempahan serta saluran projek yang jelas dan berdaya maju.

 

Sementara itu MBSB Research berkata, Gamuda dijangka terus mencatat momentum kukuh dalam perolehan kontrak baharu sepanjang CY26, disokong oleh beberapa keputusan tender yang bakal diumumkan melibatkan projek di dalam dan luar negara.

 

Katanya, antara projek berpotensi yang sedang dibida termasuk pembangunan pusat data di Negeri Sembilan bernilai sekitar RM1 hingga RM2 bilion, projek infrastruktur air Pulau Pinang–Perak (RM4 bilion), pakej sistem LRT Pulau Pinang (RM3 bilion) serta fasiliti air Upper Padas dianggarkan bernilai RM4 bilion.

 

Selain pasaran domestik, prospek luar negara turut dilihat positif dengan peluang projek merangkumi lebuh raya Northland Corridor Seksyen Satu di New Zealand, Sunshine Coast Railway di Brisbane bernilai sekitar RM3 hingga RM4 bilion, serta pembangunan Stesen Parramatta dan Stesen Olympic Park bagi Sydney Metro West.

 

Gamuda juga berpotensi memperoleh kerja tambahan bagi projek MRT Xizhi-Donghu di Taiwan, sekali gus mengukuhkan kedudukan kumpulan di pasaran antarabangsa.

 

Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan saranan "BELI" terhadap Gamuda dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM5.60, berdasarkan penilaian nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 23 kali bagi FY27F.

 

Penganalisis berpandangan, prospek jangka sederhana hingga panjang Gamuda kekal kukuh, disokong oleh aliran projek yang berterusan serta kepelbagaian geografi yang memberikan kelebihan daya tahan dalam persekitaran pasaran yang mencabar.
 

TP turut dikekalkan pada RM5.78 sesaham, berdasarkan penilaian sum-of-parts (SOP). - DagangNews.com