KUALA LUMPUR 17 April - Gadang Holdings Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM10.38 juta bagi suku ketiga berakhir 28 Februari 2026 (3QFY2026), berbanding keuntungan bersih RM9.08 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata prestasi tersebut dipengaruhi oleh peningkatan kos tambahan, selain peruntukan bagi kerugian yang dijangka serta ganti rugi ditetapkan (LAD) dalam segmen pembinaan.
Hasil bagi suku dikaji turut merosot sebanyak 33% kepada RM170.42 juta daripada RM252.58 juta sebelumnya, disebabkan kemajuan kerja yang lebih rendah dalam beberapa projek pembinaan serta pengurangan kadar kemajuan projek pembangunan hartanah yang sedang dilaksanakan.
Mengikut segmen, bahagian pembinaan merekodkan penurunan hasil sebanyak 38% tahun ke tahun, manakala segmen hartanah susut 15% berbanding tempoh sama sebelumnya.
Tiada dividen diumumkan bagi suku berkenaan.
Mengulas prospek, Gadang berkata pihaknya akan terus memantau persekitaran operasi secara rapi melalui penilaian berkala bagi memastikan pengurusan kewangan yang berhemat serta kecekapan operasi dapat dikekalkan.
Langkah itu termasuk mengambil kira peningkatan keperluan pematuhan serta jangkaan semakan dan peluasan rejim percukaian.
“Kumpulan kekal berwaspada terhadap ketidaktentuan geopolitik yang berterusan serta ketegangan perdagangan global,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, saham Gadang ditutup meningkat satu sen atau 2.94% kepada 17.5 sen pada Khamis, dengan nilai pasaran sekitar RM140.2 juta. - DagangNews.com








