Forward College sediakan subsidi RM2.5 juta untuk pelajar B40 ikuti Diploma Teknologi dengan jaminan pekerjaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Forward College sediakan subsidi RM2.5 juta untuk pelajar B40 ikuti Diploma Teknologi dengan jaminan pekerjaan

Graduan Forward College meraikan detik istimewa sempena majlis konvokesyen mereka
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Sept – Forward College menyediakan subsidi berjumlah RM2.5 juta bagi meluaskan akses kepada rakyat Malaysia, khususnya daripada golongan B40 untuk mengikuti diploma perisian selama dua tahun  serta jaminan pekerjaan.

 

Diploma itu memberi peluang kepada graduan memperoleh gaji permulaan sehingga RM4,000 dengan latihan berfokus kepada pembangunan aplikasi web, mudah alih dan berasaskan data.

 

Inisiatif tersebut turut disokong oleh Yayasan ECM Libra, Yayasan Hong Leong dan Exabytes Group untuk membantu mencapai matlamat institusi itu dalam melahirkan tenaga kerja digital untuk ekonomi negara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas Forward College, Howie Chang berkata, program tersebut menawarkan laluan kerjaya kepada golongan muda yang mungkin sebelum ini terhalang daripada melanjutkan pengajian tinggi akibat kekangan kewangan.

 

“Diploma ini ditawarkan dengan jaminan penempatan kerja serta disokong oleh rangkaian kukuh rakan kerjasama dalam pengambilan pekerja. 

 

“Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, graduan daripada program ini berjaya mendapat pekerjaan dalam sektor teknologi dengan gaji permulaan sehingga RM4,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

t
Pengasas Bersama dan CEO Forward College, Howie Chang (tengah) menerima Anugerah Ikon Pendidikan Cemerlang 2025 daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow disaksikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sempena Sidang Kemuncak Pendidikan Empowering 2025

 

Inisiatif tersebut turut menyokong agenda kerajaan dalam memperkukuh pendidikan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional).

 

Diploma tersebut telah diiktiraf sepenuhnya oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) serta Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

 

Tambahnya, semua pelajar tidak sekadar belajar bidang pengaturcaraan sebaliknya mereka turut didedahkan dengan penyelesaian masalah, kerjasama berkumpulan dan menggunakan alatan canggih yang moden seperti AI dalam situasi sebenar.

 

“Forward College percaya keupayaan untuk menguasai perisian dan pemikiran logik adalah kemahiran asas yang penting untuk semua orang terus kekal berdaya saing.

 

“Kebolehan bekerja dengan sistem AI amat penting, bukan hanya untuk jurutera perisian tetapi juga bagi sesiapa yang ingin kekal relevan. 

 

“Latihan ini turut dilengkapi dengan kemahiran komunikasi, kerjasama dan cara penyesuaian supaya graduan yang dilahirkan kelak bersedia untuk memimpin, bukan sekadar bekerja,” jelasnya.

 

t
Kampus warisan Forward College di Pulau Pinang, yang terletak dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO, menawarkan diploma, sijil, dan kursus pendek untuk membina bakat digital masa depan Malaysia.

 

Sementara itu, Pengasas Bersama Simplr Logic, Chin Mee Fong yang juga rakan industri Forward College berkata, berdasarkan pengalamannya, graduan Forward College lebih menonjol dan berkeupayaan berbanding institusi lain.

 

“Kami telah bekerjasama dengan graduan daripada banyak institusi, namun graduan Forward College lebih menonjol. 

 

“Pelajar mereka bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal, tetapi juga sangat professional dan sedia memasuki alam pekerjaan sebaik sahaja menamatkan pengajian.
 

“Program Istimewa ini memberikan syarikat seperti kami sumber bakat yang lebih kukuh untuk dipilih sebagai pekerja,” katanya.

 

Ketika ini, permohonan masih dibuka dan calon yang berminat boleh mengisi kuiz saringan awal di 🔗 [https://ready.forward.edu.my](https://ready.forward.edu.my) dengan menggunakan kod ujian FORWARD untuk merebut peluang mendapatkan subsidi penuh tersebut.- DagangNews.com