TANJUNG MALIM 12 Dis - Dunia magis bakal dihidupkan menerusi pementasan teater muzikal bertajuk ‘Woods’ oleh Artwarta Production bersama pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Teater Semester 3, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Teater muzikal ‘Woods’ akan dipentaskan di Bitara Siswa UPSI pada 27 Disember ini pukul 8.30 malam.
Pementasan muzikal yang penuh imaginasi dan keajaiban ini merupakan adaptasi daripada naskhah asal Into the Woods.
Ia sebuah teater muzikal Broadway yang terkenal dengan gabungan kisah dongeng dan penceritaan yang unik.


Muzikal ini menggabungkan plot beberapa cerita dongeng Brothers Grimm, meneroka akibat daripada kehendak dan pencarian para wataknya.
Dengan sentuhan kreatif daripada Farah Mahadi sebagai pengarah adaptasi dan Nik Muiz sebagai pengarah utama, produksi ini terhasil melalui kursus APC3143 Musical Theatre di bawah bimbingan pensyarah Nawfal Zamri.
Pengurus Publisiti Teater, Dhania Arina berkata, penonton akan disajikan dengan pengalaman pementasan yang memukau selama 1 jam 15 minit.
“Teater muzikal ‘Woods’ membawa penonton mengembara ke dalam sebuah hutan misteri yang penuh dengan kejutan, emosi, dan pengajaran.


“Gabungan muzik, lakonan, tarian dan penceritaan mencipta suasana fantasi yang menghidupkan pelbagai kisah dongeng klasik dan watak-watak terkenal dengan cara yang magis.
“Setiap elemen dalam produksi ini termasuk lakonan, koreografi, teknikal, busana, solekan dan publisiti dipersembahkan dengan penuh kreativiti oleh para pelajar teater UPSI yang terlibat dalam pementasan ini,” ujarnya kepada DagangNews.
Tambah Dhania, pementasan teater muzikal ini memberi peluang penonton untuk merasai sendiri keajaiban dunia magis yang bakal menghiasi pentas teater ini.
“Saksikan dan rasai keajaiban dunia ‘Woods’ yang pasti akan meninggalkan kesan mendalam,” ujarnya.
Tiket untuk menyaksikan pementasan muzikal ini boleh ditempah melalui panggilan telefon ke talian 018-3907093. - DagangNews.com








